Mohd Zaky Zainuddin dan Lizam Ridzuan

Kuala Lumpur: Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menjangkakan langkah kerajaan menetapkan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada sifar buat sementara mulai 1 Jun ini bakal memberi impak positif kepada jumlah jualan kenderaan (TIV).

Presidennya Datuk Aishah Ahmad berkata, menerusi langkah positif kerajaan itu, pihaknya menjangkakan TIV bagi bulan Jun dan Julai lebih tinggi berbanding bulan sama tahun sebelumnya.

“Ia (sifar GST) bagus untuk industri khususnya pengguna. Kita menyambut baik langkah ini kerana ia akan merancakkan lagi industri terutama ketika musim perayaan bakal tiba.

“Pengeluar kenderaan menyerap kadar sifar GST dengan menawarkan rebat cukai, sekali gus menyebabkan harga kenderaan lebih rendah. Kita mengharapkan pembeli tidak menangguhkan pembelian sehingga Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dilaksanakan dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi.

“Langkah pengeluar kenderaan untuk memberi nilai tambah menerusi diskaun musim perayaan juga bakal menarik minat pembeli menukar kenderaan,” katanya kepada NSTP.

Susulan penetapan kadar sifar GST oleh kerajaan baru-baru ini juga, pelbagai langkah diambil pengeluar kenderaan di negara ini dalam penawaran harga yang menarik kepada pembeli.

Sama ada jenama tempatan atau antarabangsa, kebanyakannya menawarkan rebat dan bonus GST lebih awal meskipun tempoh bebas GST hanya akan bermula 1 Jun nanti sehingga tarikh pelaksanaan SST diumumkan kelak.

Bagi jenama premium BMW dan Volvo, ia menawarkan pengurangan harga untuk semua model yang dijual sehingga pengumuman rasmi daripada kerajaan mengenai SST.

Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia, Lennart Stegland berkata, penjimatan daripada pengurangan cukai ini akan mengukuhkan kedudukan mereka sebagai pendahulu dalam ciri keselamatan, teknologi bantu pemandu dan enjin hibrid.

“Ia menawarkan harga yang kompetitif bagi pilihan kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) di negara ini untuk lebih ramai yang berpeluang memilikinya,” katanya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl berkata, buat masa ini pihaknya menyahut kenyataan kerajaan itu dengan positif termasuk pengurangan harga serta memberikan perkhidmatan selepas jualan yang terbaik kepada pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 1:51 AM