Kuala Lumpur: Boustead Plantations Bhd (BPB) bercadang untuk membeli tanah ladang sawit dan kilang minyak sawit di Sabah bernilai RM433 juta.

Naib Pengerusinya Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin berkata, kumpulan melalui anak syarikat milik penuhnya, Boustead Rimba Nilai Sdn Bhd (BRNSB) sudah mengeluarkan surat hasrat (LOI) untuk pengambilalihan tanah seluas 5,500 hektar dan kilang minyak sawit yang mempunyai kapasiti pengeluaran 60 tan sejam itu.

Berikutan penerimaan LOI oleh vendor, Sit Seng & Sons Realty Sdn Bhd, kumpulan dijangka menjalankan proses wajar dalam tempoh 60 hari.

Sejumlah RM7.56 juta sudah dibayar kepada penjual sebagai deposit yang dapat dikembalikan sebagai sebahagian daripada syarat LOI.

Lodin berkata, cadangan pembelian itu adalah selepas cadangan pengambilalihan 11,600 hektar tanah di Labuk dan Sugut, Sabah dan sebahagian daripada strategi keseluruhan kumpulan untuk mengembangkan simpanan tanahnya.

“Sekali lagi, BPB akan mendapat manfaat daripada skala ekonomi yang lebih besar hasil daripada jarak ladang ini yang berdekatan dengan ladang lain kumpulan yang ada di Sabah.

“Ia bukan saja dapat menurunkan kos operasi malah kumpulan akan menikmati penjimatan kos dalam pembinaan kilang minyak sawit baru.

“Kumpulan juga akan melihat peningkatan pendapatan dan keuntungan daripada penjualan minyak sawit mentah berbanding jualan tandan sawit,” katanya dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mei 2018 @ 7:15 AM