Syed Yasir Arafat
Syed Yasir Arafat
Syarifah Dayana Syed Bakri


EKUITI Nasional Berhad (Ekuinas) akan membuat pelaburan dalam syarikat yang menawarkan perkhidmatan rekaan dan kejuruteraan sebelum hujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir berkata, perbincangan berkaitan pelaburan berkenaan sedang giat dijalankan dan kini memasuki fasa akhir untuk memuktamadkan proses berkenaan.

“Kami sentiasa mencari peluang baru untuk mempelbagaikan portfolio pelaburan Ekuinas dan pemilihan syarikat ini berikutan kehadirannya yang kukuh dalam pasaran khususnya di rantau ini.

“Kami menjangkakan perbincangan ini dapat dimuktamadkan dalam tempoh tiga hingga empat bulan lagi,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut meninjau beberapa pelaburan baru pada tahun ini namun masih terlalu awal untuk didedahkan.

Pada tahun lalu, Ekuinas membuat tujuh pelaburan dan dua daripadanya adalah pelaburan langsung dengan komitmen modal terikat RM123.2 juta.

Tahun lalu, Ekuinas memperoleh 35 peratus pegangan ekuiti dalam Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd pada nilai RM68.6 juta.

Pelaburan dalam syarikat barangan sukan Bumiputera terkemuka negara itu menandakan pembabitan sulung Ekuinas dalam segmen peruncitan sukan yang memperluaskan portfolio runcit syarikat menjangkaui perniagaan makanan dan minuman (F&B) pada masa ini.

Melalui sokongan Ekuinas, Al-Ikhsan merancang menembusi pasaran Sabah dan Sarawak dengan cadangan membuka enam cawangan di Kuching dan Kota Kinabalu menjelang 2018 serta rancangan serantau pada masa ini termasuk menembusi pasaran Indonesia dan Thailand dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Sementara itu, bagi tahun 2016, Ekuinas mencatatkan Pulangan Portfolio Kasar berjumlah RM466.4 juta bagi Dana Langsung (Tranche I), manakala Dana Langsung (Tranche II) mencatatkan pulangan RM331.6 juta.

Dari segi pencapaian objektif sosial, Ekuinas berjaya meningkatkan Nilai Ekuiti Bumiputera RM3.9 bilion, atau 1.4 kali ganda modal yang dilaburkan.

Malah, jumlah Nilai Pemegang Saham untuk semua syarikat portfolio meningkat RM5.6 bilion atau dua kali ganda modal dilabur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2017 @ 2:25 AM