PEMENANG bagi kategori tarian etnik bergambar kenangan.
PEMENANG bagi kategori tarian etnik bergambar kenangan.
Fazurawati Che Lah


PERTANDINGAN International Junior Aspiration Mathstari Carnival (I-Mathstari) menyaksikan tujuh sekolah dari tiga negara Asia Tenggara dan 87 sekolah dari Malaysia berentap untuk bergelar juara bagi tujuh kategori yang dipertandingkan.

I-Mathstari kali keempat anjuran Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Empat, Bandar Baru Bangi, Selangor itu mendapat kerjasama Universiti Kebangsaan (UKM) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

Bagi pertandingan peringkat antarabangsa, tujuh sekolah dari Thailand, Indonesia dan Singapura diundang iaitu Darma Yudha Elementary School, Pekan Baru, Indonesia, Sekolah Dasar (SD) (Islam) ArRashid, Pekan Baru, Indonesia SD (Islam) As Shoffa Pekan Baru, Indonesia, The Elementary School of Muhammadiyah 5, Jakarta, Indonesia, Anubban School Satun, Thailand, Chariytham Chana School, Songkhla, Thailand serta Teluk Kurau Elementary School, Singapura.

Kategori yang dipertandingkan pula ialah Tarian Etnik, ConfirmA @ UNITEN, G-Maths, Public Speaking, Nyanyian Solo, Catur dan Inovasi STEM.

Sekolah yang berjaya dalam kategori masing-masing adalah SK Jalan Empat (Confirm A @UNITEN); SK Bukit Damansara, Kuala Lumpur (Tarian Etnik), SK Leftenan Adnan, Kajang, Selangor (G Maths), Darma Yudha Elementary School (Nyanyian Solo), Cempaka International School (Inovasi STEM), SK Convent Kajang, Selangor (Public Speaking) dan SK Jalan 3, Bandar Baru Bangi, Selangor (Catur).

Guru Besar SK Jalan Empat, Ainon Salehuddin berkata, bagi tiga pertandingan sebelum ini hanya dianjurkan pada peringkat kebangsaan sahaja.

“Melalui sokongan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), badan bukan kerajaan (NGO) serta orang perseorangan, pihak sekolah berjaya mengangkat program I-Mathstari ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran karnival itu bertepatan dengan saranan Kementerian Pendidikan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 -2025 yang memfokuskan pembangunan karakter merangkumi pencapaian akademik dan kokurikulum.

“I-Mathstari menjadi platform terbaik dalam penterjemahan kemenjadian murid secara holistik.

“Tiga nilai utama yang diperkenalkan Menteri Pendidikan iaitu kasih sayang, kegembiraan dan hormat-menghormati juga dapat kita lihat dengan jelas sepanjang pertandingan ini. Peserta bertanding dengan penuh semangat muhibah tanpa mengira latar belakang.

“Saya yakin aspirasi murid seperti atribut pengetahuan, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, kemahiran berfikir aras tinggi, nilai murni dan identiti nasional terserlah dalam persembahan ini,” katanya.

Majlis penutup I-Mathstari turut diserikan dengan persembahan daripada ratu irama Malaysia, Noraniza Idris.

Sempena karnival itu, satu majlis menandatangani sijil jaringan antara pemimpin sekolah dalam dan luar negara juga dilaksanakan.

Jelas Ainon, jaringan itu adalah permulaan permuafakatan pendidikan berterusan bagi memartabatkan sistem pendidikan berkualiti.

“Menerusi jaringan antarabangsa ini, lebih banyak ilmu, budaya dan amalan terbaik dapat dikongsi bersama pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 10:02 AM