PELUMBA motosikal negara, Syarifuddin Azman atau lebih dikenali sebagai Damok pada sidang media, semalam. FOTO GENES GULITAH
PELUMBA motosikal negara, Syarifuddin Azman atau lebih dikenali sebagai Damok pada sidang media, semalam. FOTO GENES GULITAH
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Meskipun hanya berlumba bersandarkan tiket wild card di saingan Moto3, pelumba negara, Syarifuddin Azman enggan sekadar menjadi pelengkap pada Kejuaraan Dunia Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), bermula 21 sehingga 23 Oktober depan.

Sebaliknya, pelumba yang mesra disapa Damok itu menegaskan akan menyahut cabaran Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif untuk bersaing di kelompok hadapan atau lebih tepat di kedudukan 10 terbaik.

Berikutan keputusan kurang memberangsangkan sepanjang tiga aksi wild card pernah dilaluinya pada tahun ini, Damok yang bakal beraksi bersama pasukan VisionTrack Racing Team berharap perkara sama tidak berlaku di halaman sendiri.

"Untuk perlumbaan di tempat sendiri ini saya memang sangat teruja menyahut cabaran CEO. Cabaran diberikan kepada saya adalah untuk berada di kelompok hadapan.

"Jadi saya akan buktikan kepadanya pada kali ini walaupun beberapa perlumbaan wild card yang saya harungi sebelum ini tidak mendapat keputusan yang baik dengan paling terbaik adalah di kedudukan ke-19 (GP Catalunya).

"Saya tahu ramai kecewa dengan keputusan saya peroleh itu, malah saya sendiri pun kecewa. Tapi, pada GP Malaysia, saya akan buktikan kemampuan sebenar kepada semua termasuk CEO," katanya.

Meskipun namanya sebelum ini disebut-sebut bakal meraih tiket wild card di Sepang, Damok mengakui hanya mengetahuinya di saat-saat akhir.

"Sebelum ini pun apabila dapat beraksi menerusi tiket wild card, semuanya dalam keadaan mengejutkan. Bagi saya, mereka mahu saya bersedia pada bila-bila masa dan fokus 100 peratus kepada perlumbaan," katanya.

Azhan pada majlis pelancaran GP Malaysia semalam, mengesahkan penyertaan Damok menerusi tiket wild card pada Oktober ini.

Ketika ini Damok menduduki tempat kedua Kejuaraan JuniorGP 2022 dengan mengumpul 97 mata dan meraih tiga penamat di tempat kedua, masing-masing di Catalunya, serta Algarve.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 1:27 PM