NAZIRUL menjulang trofi kemenangan. FOTO Malaysia Cub Prix
NAZIRUL menjulang trofi kemenangan. FOTO Malaysia Cub Prix
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pelumba Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Nazirul Izzat Md Bahauddin memasang impian untuk bergelar juara keseluruhan pada musim ini bagi membalas dendamnya selepas terpaksa berehat panjang tahun lalu susulan patah di bahagian tulang ibu jari kanannya.

Nazirul berkata, dia tidak akan biarkan saja pelumba lain menguasai perlumbaan dan akan berusaha mempamerkan aksi terbaik bagi kempen Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2021 dalam memburu misi gelaran juara keseluruhan CP150.

Kecederaan dialami di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Selatan pada September lalu memaksa Nazirul atau Ayoi melupakan empat pusingan perlumbaan musim lalu yang turut terganggu dengan pandemik Covid-19.

Begitupun, kemenangan pertama Ayoi bagi tahun ini pada perlumbaan Pusingan 2 yang berlangsung di Litar SIC Utara hari ini mengukir senyuman buat pelumba 21 tahun itu sekali gus memberikan tonik buatnya memburu gelaran juara keseluruhan sulung.

"Sasaran saya untuk musim ini adalah untuk mencari penamat di pentas podium dan menjadi juara keseluruhan," katanya yang menamatkan perlumbaan Pusingan 2 dengan catatan terpantas 14 minit 38.028 saat, semalam.

Berada di tempat kedua adalah pelumba Honda Yuzy Idemitsu Team, Azroy Hakeem Anuar dengan catatan 14 minit 38.096s manakala Md Izam Ikmal (SCK Honda Racing Team) membuat kejutan melengkapkan pentas podium di tempat ketiga selepas bermula daripada petak kedua terakhir.

Selain itu, Nazirul berkata, kemenangan terbabit turut memberi keyakinan untuk terus mempamerkan aksi cemerlang pada perlumbaan akan datang.

"Tadi sedikit nak menangis sebab 2020 saya tidak menyertai empat perlumbaan, saya patah tangan ketika bersama pasukan TKKR, saya tamat kontrak pada tahun itu dan kemudian menyambung kontrak dengan Petronas Yamaha Maju Motor. Saya berbangga kerana dapat podium bersama pasukan baharu.

"(Selepas dua pusingan musim), kami tentunya tidak akan duduk diam kerana pada saya, pelumba nombor satu hingga terakhir, semuanya boleh memberikan saingan sengit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 6:47 PM