RADHI  (berdiri enam dari kanan) bergambar bersama pasukan sepak takraw Kedah selepas pelancaran pasukan dan jersi untuk saingan Piala Emas Khir Johari (PEKJ) 2024 hari ini. FOTO Izzali Ismail
RADHI (berdiri enam dari kanan) bergambar bersama pasukan sepak takraw Kedah selepas pelancaran pasukan dan jersi untuk saingan Piala Emas Khir Johari (PEKJ) 2024 hari ini. FOTO Izzali Ismail
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah berazam menjadikan Kejohanan Sepaktakraw Kebangsaan Piala Emas Khir Johari (PEKJ) 2024 yang berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar dari 22-27 Januari ini sebagai pemangkin dalam usaha mengembalikan kegemilangan dunia sepak takraw di negeri ini.

Kejohanan edisi ke-57 itu akan disertai 18 pasukan terdiri daripada Ahli Gabungan dan Bersekutu Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) serta menawarkan hadiah RM10,000 kepada juara kejohanan berserta piala pusingan dan medal kejohanan.

Kejohanan berlangsung selama enam hari dan medan terbaik buat Kedah selaku tuan rumah selepas mengecapi kejuaraan kali terakhir pada 1987.

Pasulan lain mengambil bahagian termasuk PDRM, Selangor, ATM, Sarawak, Pahang, Kuala Lumpur, Kelantan, Perlis, Perak, Terengganu, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Bomba, KPM- MSSM dan KPT-MASUM yang masing-masing dibahagikan dalam empat kumpulan.

Menurut Exco Belia dan Sukan negeri, Muhammad Radhi Mat Din, penganjuran pada tahun ini satu penghargaan buat negeri Kedah selain memberi harapan tinggi untuk pasukan buktikan kemampuan selaku tuan rumah.

"Pada aksi Piala Khir Johari kali ini sudah pasti Kedah mahu menjadikan ia kenangan terbaik dalam usaha memajukan nama Kedah dan mahu kegemilangan sepak takraw yang pernah menjadi milik negeri ini satu ketika dahulu.

"Kebangkitan sepak takraw kini satu permulaan baru untuk mulakan kembali zaman kegemilangan yang pernah Kedah kecapi satu ketika dahulu yang dijulang oleh legenda emas antaranya seperti Adnan Saidin, Zahir Awang, Azman Ismail dan Abdul Malek Samsudin," katanya pada perasmian pasukan sepak takraw Kedah untuk saingan Piala Emas Khir Johari 2024 di Restoran Medina Thai Palace di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 5:55 PM