REAKSI Azizulhasni ketika ACC tahun lalu di Velodrom Nasional Nilai. FOTO BERNAMA
REAKSI Azizulhasni ketika ACC tahun lalu di Velodrom Nasional Nilai. FOTO BERNAMA
Suhaila Khairie


Kuala Lumpur: Status penyertaan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 di India Februari depan terjawab apabila atlet itu disahkan tidak beraksi di kejohanan terbabit.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Teknikal Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), John Beasley yang sudah menetapkan keputusan untuk tidak membenarkan Azizul beraksi di India.

"Semasa kami ke Delhi dua tahun lalu, satu pertiga pasukan kami dijangkiti Covid. Jadi ia dilakukan bagi mengelakkan situasi yang tidak diingini.

"Kami tidak mahu ambil risiko kerana Azizul hanya tinggal beberapa sebulan sahaja lagi untuk bertanding di temasya Olimpik 2024 di Paris," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Menurut Beasley, dia ingin merehatkan Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang juga atlet berbasikal trek negara, namun tidak dapat berbuat demikian kerana Kejohanan Asia memberi banyak mata dalam proses kelayakan Olimpik.

"Situasi ini menyebabkan saya perlu menghantar juga salah seorang atlet berbasikal trek lelaki untuk memastikan acara terbabit mendapat tempat di temasya kelak.

"Shah adalah atlet paling muda, jadi kami memutuskan untuk menghantar dia ke ACC 2024 sebagai atlet terbaik bagi mengumpul mata berharga ini," katanya.

Sementara itu, Azizul bakal bertanding menentang pelumba Australia untuk menempah saingan setaraf di peringkat tinggi bagi meningkatkan tahap kecergasannya dalam peringkat seterusnya.

Terdahulu, Azizul dari awal sudah menyatakan hasrat untuk tidak bersaing di ACC 2024 kerana khuatir dijangkiti Covid-19 dan boleh menjejaskan persiapannya ke temasya berprestij empat tahun sekali itu.

Justeru saingan ACC 2023 yang berlangsung di Velodrome Nasional, Nilai Jun lalu adalah penampilan terakhirnya di kejohanan itu di mana Azizul berjaya merangkul dua pingat emas dalam acara pecut dan keirin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2024 @ 4:16 PM