AFIQ maut dalam kemalangan di Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas).
AFIQ maut dalam kemalangan di Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas).
Ahmad Hasbi


Seremban: Bintang remaja sukan biliard negara, Muhammad Afiq Abdullah, 13, maut selepas kereta dinaikinya bersama empat ahli keluarga terbabit kemalangan di Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) berhampiran susur ke Ampangan, awal pagi kelmarin.

Presiden Persekutuan Snuker dan Biliard Malaysia (MSBF), Melvin Chia mengucapkan takziah kepada keluarga Afiq dan mengakui Malaysia kehilangan bintang dalam pembikinan.

"Kami memiliki perancangan besar buat Afiq, dia bermain sejak usia sembilan tahun dan menunjukkan potensi besar. Kami merancang menyerlahkannya sebagai juara termasuk memasukkannya ke Sekolah Sukan Bukit Jalil bersama beberapa pemain muda lain dalam program pembangunan pada tahun depan dan ahli keluarganya sudah setuju. Malangnya, kemalangan ini berlaku dan jelas ia satu kehilangan besar buat sukan ini, MSBF dan negara kita," katanya.

Melvin berkata, Afiq lahir daripada keluarga snuker dengan bapanya sendiri adalah pemain profesional manakala ibunya bekerja di pusat snuker.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, dalam kejadian 2.50 pagi itu, kereta dinaiki mangsa dikatakan hilang kawalan ketika melalui selekoh.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta Honda City dipandu seorang lelaki berumur 21 tahun sedang bergerak bersama empat penumpang dari arah Senawang menuju ke arah Ampangan, Seremban.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta dinaiki mangsa melalui selekoh dan dikatakan hilang kawalan lalu terbabas ke longkang di bahu kanan jalan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, mangsa lelaki berumur 13 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian. Katanya, empat lagi mangsa iaitu dua lelaki dewasa, seorang wanita dewasa dan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun mengalami kecederaan sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 3:22 PM