NUR Aiman memenangi Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia di peringkat ketiga Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023, bulan lalu. FOTO ARKIB NSTP
NUR Aiman memenangi Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia di peringkat ketiga Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023, bulan lalu. FOTO ARKIB NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Walaupun Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) dibarisi beberapa pelumba import, pelumba berbasikal lebuh raya negara, Muhammad Nur Aiman Rosli bersedia memberi persaingan secara sihat, tahun depan.

Menurut pelumba kelahiran Johor itu, untuk memberi saingan dengan rakan sepasukan terutama tonggak import, dia kini membuat persiapan menjelang pembukaan musim 2024.

"Ini memang pasukan impian saya sebab selepas ini TSG bakal mengharungi banyak perlumbaan dan berpangkalan di Terengganu," katanya yang memenangi Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia di peringkat ketiga Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023, bulan lalu.

Ujar bekas pelumba Sapura Cycling Team (TSC) itu, dia sudah menghantar permohonan kepada pasukan berstatus benua itu sejak Julai iaitu sebelum LTdL 2023 membuka tirai.

"Saya terus memohon sebab pendaftaran untuk masuk dalam senarai Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) adalah bulan ini, jadi sebab itu saya cepat memohon dengan TSG.

"Saya berterima kasih kepada Nasiruddin Wan Idrus (Ketua Pegawai Operasi TSG) dan pihak TSG kerana memberi peluang menyertai pasukan ini musim depan," katanya.

Ditanya mengenai peluang menyertai pasukan antarabangsa, Nur Aiman berkata, dia mahu memantapkan dirinya terlebih dahulu.

Katanya, disebabkan musim baharu belum bermula, dia tidak mempunyai sebarang sasaran spesifik, hanya fokus berlatih seperti biasa.

Semalam, TSG mengesahkan Nur Aiman menandatangani kontrak bersama TSG untuk satu tahun bermula 1 Januari sehingga 31 Disember 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 6:41 PM