PELAYAR negara, Khairul Nizam Mohd Affendy. Gambar IG Khairul Nizam
PELAYAR negara, Khairul Nizam Mohd Affendy. Gambar IG Khairul Nizam
Oleh Aida Adilah Mat


Hangzhou: Pelayar berpengalaman negara Khairulnizam Afendy mengakui temasya Sukan Asia, Hangzhou kali ini tidak memihak kepadanya.

Tidak pernah terlepas menghadiahkan pingat kepada negara apabila meraih perak di Incheon (2014) dan Jakarta-Palembang (2018), Khairulnizam yang beraksi dalam acara ILKA7 kali ini perlu mengakui, rezeki tidak memihak kepadanya.

Namun ia bukan penamat kerana masih banyak peluang buat dirinya untuk layak ke temasya Olimpik Paris, malah atlet berusia 30 tahun itu yakin akan dapat mewakili negara sekali lagi dan buat terakhir dalam kariernya.

"Saya ambil iktibar dari temasya Sukan Asia ini dan akan terus pandang ke depan. Bulan Disember ini ada kejohanan penting, iaitu Kejohanan Asia di Pattaya yang mana dua terbaik akan layak ke Olimpik.

"Ia adalah kejohanan untuk saya tebus kesilapan di sini dan saya akan berusaha untuk memburu tempat ke Olimpik buat kali keempat.

"Kejohanan Asia itu akan menjadi kejohanan ulangan Sukan Asia dan misi ke Olimpik itu bukan mustahil," katanya.

Kata Khairulnizam, memang lumrah kehidupan, setiap kejohanan ada turun dan naiknya dan kali ini Hangzhou tidak memihak kepadanya.

Malah bekas Olimpian negara itu mengakui, dia sudah buat yang terbaik di Sukan Asia kali ini sehingga meninggalkan isteri yang ketika ini sedang sarat mengandung namun rezeki tidak memihak kepadanya.

"Orang yang mengenali saya, tahu saya bukan seorang yang mudah putus asa. Saya kalah, saya akan turun balik berlatih. Itulah saya sudah 20 tahun dalam pasukan.

"Saya yakin, bukan saya seorang yang tidak bernasib baik kali ini, ramai lagi pelayar kita yang bagus terutama dalam acara 470.

"Mereka juga masih berpeluang ke Olimpik. Nasib mereka sama macam saya. Mereka sangat bagus tapi ini bukan minggu kami dan saya akui ia adalah minggu paling sukar dalam karier saya dan hingga kini saya masih terbayang-bayang," katanya.

Pada temasya kali ini Khairulnizam menamatkan cabaran di kedudukan kesembilan dari 13 peserta yang bertanding. Emas dalam acara itu dimenangi pelayar dari Singapura, Lo Jun Han, perak milik Ha Jeemin (Korea Selatan) gangsa Vishnu Saravanan (India).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 11:33 AM