DATUK  Abdul Halim Suleiman (tengah) ketika sidang media semalam. FOTO Sukhairi Thani
DATUK Abdul Halim Suleiman (tengah) ketika sidang media semalam. FOTO Sukhairi Thani
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad sepak takraw kebangsaan, Ahmad Jais Baharun menganggap persiapan lebih dua minggu di Thailand bermula 17 Ogos ini sebagai medan terbaik mempersiapkan pasukan terutama menjelang Sukan Asia Hangzhou, bulan depan.

Menurutnya, kem latihan di Ratchaburi serta menyertai Piala Pattaya nanti bakal membolehkan pasukan memperoleh rakan sepelatih berkualiti serta membolehkan barisan kejurulatihan menilai prestasi 15 pemain sebelum disenarai pendek kepada 12 pemain ke Hangzhou.

"Kita kena ambil sebagai satu cabaran kerana kita nak dapatkan satu 'sparring' yang berkualiti. Ini kerana kita nak uji pemain kita dalam regu dan berpasukan dengan pasukan yang kita rasakan boleh memberikan saingan. Jadi kita perlu bersiap sedia untuk mengadakan pertandingan dan latihan di sana," katanya.

Ujar Ahmad Jais yang penting adalah mempersiapkan pasukan ke arah memantapkan prestasi pemain berbanding di Sukan Sea mahupuan Piala Raja Thai sebelum ini.

Semalam, Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menerusi Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Datuk Abdul Halim Suleiman dalam satu sidang media mengumumkan senarai 15 pemain yang akan menyertai latihan dan pertandingan di Thailand sehingga 4 September ini.

Daripada 15 nama berkenaan yang dijadual menyertai dua perlawanan ujian dan empat slot di Piala Pattaya itu, hanya 12 nama akan dimuktamadkan untuk membawa nama negara ke Sukan Asia bermula bulan depan.

"Kita bersetuju untuk latihan pusat di sana dan dua perlawanan ujian. Perlawanan ujian pertama adalah dengan barisan pilihan pemain dari liga Thailand dan keduanya, dengan pemain pilihan dari bekas pemain kebangsaan Thailand itu sendiri.

"Jadi dua perlawanan ujian ini dapat memberikan input berguna kepada pemain dalam kita menilai tahap kemampuan pasukan untuk bersaing dengan pemain Thailand khususnya... ini kerana suasananya manakala pemain di Thailand sekiranya dibandingkan Indonesia dan Korea Selatan amat berbeza," katanya.

Tambah Ahmad Jais, beliau merasakan ada beberapa kekangan atau kekurangan daripada pasukan khususnya semasa pemain bermain di peringkat antarabangsa.

"ISN (Institut Sukan Negara) juga ada membantu menyediakan pakar motivasi untuk pasukan dalam menghadapi kejohanan besar yang akan disertai terutama di Sukan Asia nanti.

"Mulai minggu ini, pasukan akan memulakan latihan dan dalam masa sama, ISN juga akan terus membantu pasukan negara dengan memberikan input berguna kepada setiap pemain dalam menghadapi temasya besar seperti Sukan Asia," kata Ahmad Jais.

Skuad negara diundi dalam kumpulan A bersama Singapura dan Vietnam, manakala Thailand, Filipina, India dan Myanmar dalam kumpulan B untuk acara regu lelaki.

Persaingan berpasukan regu lelaki pula menyaksikan Thailand diundi dalam kumpulan A bersama Jepun dan Laos, manakala Malaysia dalam kumpulan B bersama Indonesia dan Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 3:54 PM