ADAM Adli (tengah) mengakui KBS sentiasa memberi perhatian kepada Azeem. FOTO Bernama
ADAM Adli (tengah) mengakui KBS sentiasa memberi perhatian kepada Azeem. FOTO Bernama
BERNAMA

Ipoh: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berharap pelari pecut negara Muhammad Azeem Fahmi terus meningkatkan prestasi meskipun gagal melayakkan diri ke peringkat separuh akhir acara 100 meter (m) pada Kejohanan Olahraga Dunia 2023 di Budapest, Hungary.

Timbalan Menteri berkenaan Adam Adli Abdul Halim berkata pihaknya akan terus memberikan sokongan bagi memastikan anak jati kelahiran Teluk Intan, Perak itu mendapat latihan terbaik di Amerika Syarikat.

"Kita sememangnya bagi perhatian kepadanya dan sentiasa berhubung dari semasa ke semasa.

"Azeem juga kita angkat menjadi ikon sukan dan anak muda dalam beberapa program kita sebelum ini dan ia juga antara sokongan KBS kepadanya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Fit Malaysia Peringkat Negeri Perak di Kompleks Belia dan Sukan di sini hari ini.

Pada saingan pusingan pertama di Pusat Olahraga Nasional awal pagi ini waktu Malaysia, Azeem yang berlari dalam saringan empat, menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh daripada keseluruhan lapan peserta dengan catatan masa 10.26 saat (s).

Azeem yang membuat penampilan pertamanya pada Kejohanan Dunia tahun ini adalah pemegang rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.09s yang dicipta pada Kejohanan Olahraga Dunia B-20 di Cali, Colombia, Ogos tahun lepas.

Sementara itu, Adam Adli berkata lebih 9,000 peserta menyertai Program Fit Malaysia Peringkat Negeri Perak yang melibatkan pengisian aktiviti seperti fun ride 10 km dan 35 km, fun run 5 km dan 10 km, fun walk 3 km, senamrobik dan tarik tali.

"Ia bertujuan membudayakan dan merakyatkan sukan dalam kalangan masyarakat menerusi amalan gaya hidup aktif, cergas dan sihat seiring dengan aspirasi di bawah kerangka Malaysia MADANI," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2023 @ 1:32 PM