SHARUL Aimy (kiri) memenang pingat gangsa di Sukan Sea 2021 di Quan Ngua Gymnasium, Hanoi.
SHARUL Aimy (kiri) memenang pingat gangsa di Sukan Sea 2021 di Quan Ngua Gymnasium, Hanoi.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Gimnas negara, Muhammad Sharul Aimy dilihat mempunyai peluang cerah untuk memenangi pingat pada temasya Sukan Asia di Hangzhou, September depan kerana kebanyakan negara dijangka akan memberi tumpuan kepada Kejohanan Dunia Gimnastik Artistik yang berlangsung serentak.

Sharul layak beraksi di temasya sukan berprestij itu selepas berjaya menamatkan saingan Kejohanan Gimnastik (Artistik) Asia di Singapura minggu lalu, di kedudukan keenam acara melombol.

"Bagi saya, Sharul Aimy ada peluang baik memenangi pingat di Sukan Asia nanti kerana kebanyakan gimnas terbaik akan beraksi di Kejohanan Dunia kerana tarikh penganjuran Sukan Asia dan Kejohanan Dunia, bertembung.

"Saya yakin, negara kuasa besar akan menghantar barisan kedua gimnas masing-masing ke Sukan Asia, kerana Kejohanan Dunia menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris," kata jurulatih gimnastik artistik lelaki, Ng Shu Wai.

Untuk rekod, Sukan Asia 2022 di Hangzhou akan berlangsung dari 23 September hingga 8 Oktober, manakala Kejohanan Dunia Gimnastik Artistik pula pada 30 September hingga 8 Oktober di Antwerp, Belgium.

Jelas Shu Wai lagi, ketika ini Sharul menjadi satu-satunya gimnas negara layak beraksi di Sukan Asia.

"MOM (Majlis Olimpik Malaysia) sudah menetapkan syarat, jadi kita ikut kerana kami di persatuan, paling penting ada wakil beraksi dan kita akan usahakan untuk menyumbang pingat kepada negara.

"Di kejohanan Asia di Singapura, Sharul Aimy menamatkan acara final melombol di kedudukan keenam dan meraih mata yang agak hampir dengan gimnas di tangga kelima, empat dan pemenang pingat gangsa.

"Jadi, dia layak ke Sukan Asia dalam kategori B1 yang hanya diberi kepada atlet atau pasukan yang menamatkan saingan di peringkat Asia di kedudukan enam terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2023 @ 6:16 PM