DATUK Ahmad Shapawi Ismail. FOTO Aizuddin Saad
DATUK Ahmad Shapawi Ismail. FOTO Aizuddin Saad
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Sukan Asia Hangzhou bukan lagi tempat untuk uji kaji atau pendedahan semata-mata buat atlet namun lebih kepada medan pertempuran dalam usaha meraih keputusan positif dengan membawa pulang pingat buat negara.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, pihaknya menyokong penuh syarat ketat yang ditetapkan jawatankuasa pemilihan atlet ke temasya itu bagi memastikan hanya yang berpotensi memenangi pingat disenaraikan mewakili negara.

"Kita beri sokongan penuh khususnya syarat yang lebih ketat… apa yang penting Sukan Asia bukan pendedahan tapi medan pertempuran untuk atlet menunjukkan prestasi yang tinggi.

"Siapa yang layak dalam kategori A, mereka sepatutnya membuktikan segala kemudahan yang kita berikan kepada mereka selama ini, selayaknya diterima…jangan ambil mudah," katanya.

Terdahulu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria memaklumkan atlet yang berpotensi untuk menyumbang pingat sahaja dibenarkan untuk mengambil bahagian di temasya Sukan Asia Hangzhou yang berlangsung pada penghujung September ini.

Pendirian itu dibuat memandangkan tahap kompetitif tinggi di Sukan Asia yang mana ia tidak sesuai untuk digunakan sebagai medan pendedahan buat atlet.

Malah katanya, syarat itu diletakkan bagi memastikan pencapaian hambar kontinjen negara pada edisi lalu yang berlangsung di Jakarta-Palembang 2018, tidak berulang semula apabila turun bertanding di Hangzhou.

Untuk rekod, kategori A akan ditanggung sepenuhnya MOM namun hanya membabitkan atlet yang memperoleh keputusan empat terbaik di kejohanan peringkat Asia.

Manakala, kategori B pula akan ditanggung sepenuhnnya persatuan sukan berkaitan namun, atlet atau pasukan yang layak beraksi ke temasya itu perlu mempunyai pencapaian enam terbaik dalam kejohanan sebenua.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 3:22 PM