HUSNIAH raih gangsa dalam acara 200m semalam. FOTO Fathil Asri
HUSNIAH raih gangsa dalam acara 200m semalam. FOTO Fathil Asri
Syazwan Msar


Phnom Penh: Barisan atlet pecut wanita negara mempunyai matlamat lebih besar dengan mahu membawa pulang pingat emas dalam acara 4X100 meter (m) sukan Sea Kemboja ke tanah air.

Berdasarkan pencapaian terkini termasuklah memenangi acara terbabit di Singapura bulan lalu sudah pastinya meniup semangat barisan atlet pecut wanita itu untuk meraih kejayaan positif di bumi Phnom Penh.

Atlet pecut wanita kebangsaan Zaidatul Husniah Zulkifli berkata, keputusan positif yang diraihnya pada penampilan dalam acara 200m semalam dengan membawa pulang gangsa turut meniup semangat untuk menggenggam emas buat negara.

"Saya sangat berpuas hati dengan keputusan yang diraih kerana sasaran awal saya untuk acara 200m ini untuk berada dalam kelompok finalis sahaja.

Namun, saya berjaya lakukan lebih daripada itu dengan menaiki podium.

"Kejayaan ini cukup manis kerana sememangnya saya sudah lama menantikan kilauan pingat Sukan Sea selepas kali terakhir menang pingat perak pada temasya edisi 2017 di Kuala Lumpur.

"Kini, fokus saya sudah pasti terarah untuk acara 4x100m dan saya bersama rakan sepasukan bersedia untuk memastikan momentum cemerlang dapat diteruskan dengan meraih pingat emas," katanya.

Pada saingan di Stadium Nasional Morodok Techo itu, Zaidatul mencatatkan masa 23.60 saat (s) di belakang jaguh Vietnam, Thi Nhi Yen di tempat kedua dan Veronica Shanti dari Singapura yang meraih pingat emas.

Mengikut rekod, kuartet 4x100m wanita negara yang terdiri daripada Zaidatul Husniah Zulkifli, Nur Aishah Rofina Aling, Azreen Nabila Alias and Nur Afrina Mohd Rizal berjaya menjuarai Terbuka Singapura pada penghujung bulan lalu.

Mereka merekodkan catatan masa 45.70s sekali gus berpotensi untuk berada dalam kedudukan podium di temasya dwi tahunan kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2023 @ 1:30 PM