SHARMENDRAN memenangi tiga pingat emas acara kumite lelaki 75kg di tiga Sukan Sea sebelum ini.
SHARMENDRAN memenangi tiga pingat emas acara kumite lelaki 75kg di tiga Sukan Sea sebelum ini.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Jaguh karate negara, R Sharmendran dipilih untuk menjadi pembawa Jalur Gemilang di temasya Sukan Sea edisi ke-32 di Kemboja bermula 5 hingga 17 Mei ini.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam satu kenyataan berkata, pelantikan Sharmendran berpandukan prospek pingatnya di Kemboja selain pengalaman mengutip emas pada beberapa temasya terdahulu.

Sharmendran yang bakal berusia 31 tahun November depan, memburu pingat emas keempat berturut-turut dalam kategori Kumite Lelaki 75 kilogram (kg), selepas memenangi emas acara sama di temasya Kuala Lumpur 2017, Filipina 2019 dan Vietnam 2021.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pemilihan Sharmendran untuk menggalas tugas itu adalah tepat.

"Selepas meneliti senarai pendek merangkumi tujuh calon, MOM memilih Sharmendran untuk diberi penghormatan ini berdasarkan dua kriteria iaitu prospek pingat dan pengalaman," katanya.

Sharmendran bakal menjadi wakil karate kedua membawa Jalur Gemilang pada upacara pembukaan Sukan Asia Tenggara itu selepas R Puvaneswaran pada temasya Sukan Sea ke-22 di Hanoi pada 2003.

Kontinjen Malaysia yang dibarisi 914 atlet dan pegawai bakal menyertai 34 jenis sukan yang dipertandingkan pada edisi kali ini.

Sasaran pingat buat kontinjen negara dijangka diumumkan ketika majlis penyerahan Jalur Gemilang yang akan disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada 30 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2023 @ 5:24 PM