AHMAD Shahrizal meletakkan harapan yang tinggi kepada atlet yang terpilih mewakili negara ke Sukan Sea. FOTO MALIK MUHAMAD
AHMAD Shahrizal meletakkan harapan yang tinggi kepada atlet yang terpilih mewakili negara ke Sukan Sea. FOTO MALIK MUHAMAD
Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Seramai 35 atlet Terengganu bakal menggalas cabaran Malaysia pada temasya Sukan Sea edisi ke-32 di Kemboja yang bakal membuka tirainya bermula 5 hingga 17 Mei depan.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya berkata, atlet Terengganu itu bakal menyertai dalam pelbagai jenis sukan yang dipertandingkan pada temasya dwitahunan itu daripada jumlah keseluruhan atlet negara seramai 677 yang bakal beraksi dalam kejohanan itu.

"Kami meletakkan harapan yang tinggi kepada atlet yang terpilih mewakili negara ke Sukan Sea nanti mampu memperagakan aksi terbaik mereka demi mengharumkan nama negara di pentas sukan terbesar Asia Tenggara itu.

"Kita mahukan setiap atlet berkenaan tidak pulang dengan tangan kosong, sebaliknya sedaya upaya membawa pulang kilauan pingat terutama emas buat kontinjen negara, ini sasaran kita."

Ini kerana kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) ada menyediakan insentif Skim Wakil Negara (SWARA), mereka juga akan diberikan insentif Skim Hadiah Kemenangan (SHAKE) berdasarkan warna pingat emas, perak dan gangsa.

"Bagi SWARA, setiap atlet akan diberikan sagu hati sebanyak RM1,000 seorang manakala untuk SHAKE pula, setiap atlet yang berjaya akan diberikan hadiah berupa wang tunai RM4,000 individu dan RM2,500 berpasukan bagi mereka yang merangkul pingat emas.

"RM3,000 individu dan RM2,000 berpasukan bagi atlet yang memperoleh perak dan RM2,000 individu dan RM1,500 bagi acara berpasukan buat atlet yang meraih pingat gangsa," katanya yang mengharapkan insentif itu mampu membakar semangat mereka untuk berjuang habis-habisan untuk memburu kilauan pingat.\

Antara atlet yang bernaung bawah MSNT yang terpilih mewakili negara termasuk pelari pecut meningkat naik, Azreen Nabila Alias, Muhammad Zulfiqar Ismail, Muhammad Firdaus Mohammad Zemi, Ruslem Zikry Putra Roseli, Abdul Wafiq Roslan dan Muhammad Shahrizal Nasharuddin Isham daripada sukan olahraga.

Turut disenaraikan tiga pelumba profesional Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Mohammad Nur Aiman Mohd Zariff, Mohd Shahrul Mohd Amin dan Nur Amirull Fakhruddin Mazuki.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 5:02 PM