HANNAH dan Adam Adli di Menara KBS hari ini. FOTO KBS
HANNAH dan Adam Adli di Menara KBS hari ini. FOTO KBS
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini berhasrat mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri lebih kerap bagi tujuan merangka dan menyelaras kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri.

Ia perlu dilakukan bagi memastikan pembangunan belia dan sukan secara holistik.

Menterinya, Hannah Yeoh, berkata perjumpaan seperti itu perlu dilakukan untuk manifestasi identiti dan hala tuju Kerajaan Persekutuan Perpaduan.

Bagaimanapun kali terakhir mesyuarat berkenaan diadakan pada 2018 yang dipengerusikan bekas menteri, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Sudah lama kita tidak mengadakan mesyuarat ini bersama Exco Belia dan Sukan Negeri, jadi saya sasarkan untuk adakan lebih kerana yang mana sekurang-kurangnya dua kali setahun.

"Ia bertujuan membolehkan pihak kementerian mengenal pasti dan membincangkan isu-isu semasa belia dan sukan di peringkat akar umbi serta memperakukan cadangan tindakan dalam usaha untuk meningkatkan pembangunan belia dan sukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sebelum mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Exco Pembangunan Belia dan Sukan Bilangan 1 Tahun 2023 di Menara KBS di sini, hari ini.

"Ia jelas mahu penglibatan kerajaan negeri bagi membangunkan masa depan Malaysia bersama. Portfolio kita belia dan sukan adalah portfolio yang tidak boleh dipolitikkan kerana ini adalah masa depan dan nama baik Malaysia.

"Oleh itu, kita akan adakan lebih banyak libat urus seperti ini bersama semua kerajaan negeri," katanya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim dan semua 13 Exco Belia dan Sukan Negeri kecuali Selangor.

Antaranya Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan Sarawak, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Alfren Angin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 6:02 PM