KAMAL bersama pingat emas dimenanginya dalam acara lempar cakera lelaki.
KAMAL bersama pingat emas dimenanginya dalam acara lempar cakera lelaki.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Atlet lempar cakera kebangsaan, Kamal Farhan A Rahman menghadiahkan emas buat Universiti Putra Malaysia (UPM) apabila mengungguli acara lempar cakera lelaki bagi kategori podium di Kejohanan Olahraga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2022 (Grand Final), di sini, hari ini.

Biarpun tidak membuat persediaan khusus untuk beraksi di kejohanan itu, Kamal tampak tidak berdepan masalah membuat balingan emas dengan jarak 46.16 meter (m) menewaskan pelajar dari UMS, Mirach Han (41.26m) yang meraih pingat perak manakala gangsa milik Ahmad Zakwan Iddin Alias dari UPSI (37.89m).

Kejayaan itu dilihat satu permulaan baik buat atlet kelahiran Selangor berusia 21 tahun itu untuk memburu pingat di Sukan Sea Kemboja yang menjadi sasaran utamanya tahun depan.

Dia yang sudahpun layak ke temasya dwi tahunan dalam kategori A ketika beraksi di Sukan Asean Universiti (AUG) dengan balingan 50.92m itu kini dalam proses memantapkan lagi balingan selain memperbaiki masalah kecil perlu diperbetulkan.

"Untuk pertandingan ini saya tidak buat persediaan sangat kerana saya dalam fasa 'conditioning' iaitu masa untuk perbaiki masalah kecil yang tidak dapat lakukan di kejohanan besar.

"Sasaran saya sebenarnya adalah Sukan Sea kerana peluang untuk dapatkan perak dan gangsa itu cerah," katanya yang dibimbing oleh jurulatih China, Gu Wei Yang.

Mengulas mengenai sasarannya di Kemboja nanti, Kamal berkata dia yakin mampu untuk melakukan balingan sekitar 53 hingga 54m dengan persaingan perlu diberi tumpuan kepada atlet Thailand.

Justeru dia berharap dapat menyertai kejohanan dan latihan di luar negara sebagai persiapan untuknya menghadapi temasya Sukan Sea Kemboja nanti.

Sementara itu dalam acara 10,000 meter (m) lelaki podium akhir di menangi V Gautham dari IUKL yang merekodkan 35: 25.89s manakala perak diraih J Yuvanes (UTP) 36:15.79s dan B Ruveshwaran dari UniKL meraih gangsa (36:30.52s).

Lompat jauh wanita elit dimenangi Asmirah Asmad dari UMTdengan jarak 4.44m, perak Nurul Nazifah Wahab (UPNM) 4.39m manakala gangsa Lim Hui Bing (IMU) 4.37m.

Bagi acara lompat tinggi wanita podium emas diraih Rosita Lua Anak Jaring dari USI 1.60m untuk rekod baru kejohanan.

Tuan Julianan Tuan Hassan (UPM), 1.53m dan Tan Wen Xi (Xiamen) 1.55m masing-masing untuk perak dan gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2022 @ 4:12 PM