ON Jabbar (dua kiri) menunjukkan bola petanque pada majlis sidang media Kejohanan Antarabangsa Johor Petanque 2022 di Hotel Pinetree. FOTO Izz Laily Hussein
ON Jabbar (dua kiri) menunjukkan bola petanque pada majlis sidang media Kejohanan Antarabangsa Johor Petanque 2022 di Hotel Pinetree. FOTO Izz Laily Hussein
Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Kejohanan Antarabangsa Johor Petanque 2022 yang julung kalinya diadakan di Malaysia pada 27 dan 28 Ogos ini bakal tercatat dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai penyertaan peserta teramai untuk sukan petanque.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), Datuk On Jabbar@Jaafar berkata, setakat ini, kejohanan itu menerima pendaftaran 834 peserta membabitkan 626 atlet tempatan.

"Selebihnya atlet luar negara yang terdiri daripada 14 negara antaranya Korea Selatan, Denmark, Australia, Nepal, Zambia, India, Perancis dan New Macedonia.

"Penyertaan atlet kebangsaan yang memenangi pingat gangsa pada Sukan SEA di Hanoi iaitu Muhammad Arif Kana dan Mohamed Syahzwan Mohamed Sani bakal mencuri tumpuan pada kejohanan itu nanti.

"Turut bertanding ialah atlet kebangsaan yang memenangi perak dan gangsa pada kejohanan World Championship 2022 di Denmark iaitu Nur Ain Syuhada Mohd Asri dan Nur Thahira Tasnim Abdul Aziz," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya masih membuka penyertaan sehingga jam 12 tengah hari, 23 Ogos ini dan mensasarkan sehingga 900 peserta.

Katanya, kejohanan itu juga akan disertai juara dunia regu campuran dari Thailand iaitu Nantawan Fueangsanit dan Sarawut Sriboonpeng yang mana kedua-dua mereka akan berpasangan dengan regu masing-masing bagi kategori berkumpulan terbuka lelaki dan wanita.

"Objektif utama kejohanan ini adalah menarik penyertaan pasukan negeri yang sedang membuat persiapan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 serta penggiat sukan petanque dari dalam dan luar negara.

"Kejohanan ini juga boleh dijadikan platform pendedahan kepada penggiat sukan Petanque di Malaysia untuk memperoleh pengalaman bermain bersama-sama pasukan luar negara," katanya.

Pada masa sama, Kejohanan Antarabangsa Johor Petanque 2022 itu akan dimasukkan ke dalam kalendar Fédération Internationale de Pétanque et Jeu Provençal (FIPJP) sebagai acara tahunan.

Kejohanan yang akan berlangsung di Arena Petanque MBJB, Taman Tampoi Utama dan Arena Petanque Impian Emas, Taman Impian Emas di sini, menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM28,000.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2022 @ 4:19 PM