AZEEM catat 10.09 saat.
AZEEM catat 10.09 saat.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pelari pecut negara Muhammad Azeem Fahmi memohon doa rakyat Malaysia untuk dirinya meraih kejayaan apabila turun beraksi di peringkat separuh akhir seterusnya layak ke final Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia, awal pagi esok.

Pelari berusia 18 tahun itu mencipta kejutan apabila memecahkan rekod kebangsaan acara 100 meter (m) di Cali awal pagi tadi selepas merekodkan 10.09s ketika saringan memadamkan rekod lama milik Khairul Hafiz Jantan 10.18s yang dilakukan pada 2016 ketika Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak.

Kini Azeem berkata, fokusnya terarah kepada mempersiapkan diri untuk menghadapi peringkat separuh akhir seterusnya melayakkan diri ke pentas akhir. "Terima kasih semua di atas ucapan. Alhamdulillah untuk segalanya. Separuh akhir dan diharapkan final. Kepada semua rakyat Malaysia, satu-satu yang saya pohon dari anda semua adalah doa dan positif, itulah senjata paling kuat untuk diri ini. "Insya-Allah. Bismillah. Doakan kejayaan saya," tulis Azeem di ruangan Instastory miliknya selepas selesai peringkat saringan awal pagi tadi.

Terdahulu Azeem melakarkan kejutan apabila mempamerkan larian penuh bertenaga untuk mengungguli saingan peringkat kelapan.

Lebih menarik catatan 10.09s itu kedua terpantas daripada 60 penyertaan atlet dalam acara 100m di kejohanan berkenaan yang menyaksikan pelari Botswana, Lestsile Tebogo muncul pelari terpantas peringkat saringan dengan rekod baru kejohanan iaitu 10s.

Tebogo juga adalah pemegang rekod remaja dunia dalam acara itu dengan catatan 9.94s.

Manakala pemenang pingat emas Sukan Sea Hanoi, Vietnam daripada Thailand, Puripol Boonson turut melayakkan diri ke separuh akhir selepas memenangi saringan keenam dengan catatan masa 10.20s.

Pencapaian Azeem juga menyaksikan dia kini mendahului senarai pelari terpantas Asia di peringkat remaja menewaskan atlet Jepun berusia 19 tahun, Hiroki Yanagita yang memiliki catatan 10.16s diikuti Puripol merekodkan masa 10.19s di kedudukan kedua.

Ketiga terpantas adalah pelari China, Wang Shuang dengan masa 10.23s. Rekod dunia acara 100m dipegang bekas jaguh pecut Jamaica, Usain Bolt dengan catatan 9.58s yang dilakukannya di Berlin, Jerman pada 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2022 @ 12:07 PM