MUN Yee berharap tiada sebarang kecederaan dialami oleh penerjun negara sebelum bermulanya Sukan Sea. FOTO NSTP
MUN Yee berharap tiada sebarang kecederaan dialami oleh penerjun negara sebelum bermulanya Sukan Sea. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Datuk Leong Mun Yee berharap bekas rakan gandingannya, Datuk Pandelela Rinong dapat meneruskan aksi cemerlang bersama pasangan baharu bermula di Sukan Sea Hanoi, Vietnam dari 12-23 Mei ini.

Jelas Mun Yee yang kini menggalas tugas selaku pembantu jurulatih skuad terjun kebangsaan, beliau akan berusaha sedaya upaya membantu penerjun negara termasuk Pandelela untuk sekali lagi mendominasi acara terjun di Hanoi.

"Setakat ini semua persiapan berjalan dengan lancar. Sebelum bermulanya Sukan Sea, akan ada pertandingan pemanas badan di Ipoh.

"Untuk Pandelela pula, saya lihat gandingannya bersama pasangan baru sudah nampak ada keserasian. Saya juga berharap tiada sebarang kecederaan dialami oleh penerjun negara sebelum bermulanya Sukan Sea," katanya.

Kali terakhir Mun Yee bergandingan dengan Pandelela adalah pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang menyaksikan mereka menamatkan saingan di kedudukan kelapan sebelum dia mengumumkan persaraan.

Mun Yee adalah atlet wanita pertama negara yang layak beraksi di Olimpik sebanyak lima kali bermula di Sydney pada 2000, Athens 2004, Beijing 2008, London 2012 dan Tokyo 2020.

Dia menutup kariernya dengan gemilang apabila meraih Anugerah Pasukan Wanita Kebangsaan bersama-sama Pandelela di Anugerah Sukan Kebangsaan (ASN) 2019 & 2020 selepas meraih tempat kedua di Kejohanan Dunia Fina Gwanju 2019 dan Siri Terjun Dunia Montreal 2020.

Skuad terjun negara dijangka akan terus mendominasi di Hanoi yang kali ini mempertandingkan lapan acara iaitu 10 meter (m) platform seirama lelaki dan wanita; 3m papan anjal seirama lelaki dan wanita; 3m papan anjal individu lelaki dan wanita serta 1m papan anjal individu lelaki dan wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2022 @ 10:53 PM