Aksi atlet ski alpine negara, Aruwin Idami Salehhuddin di Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing. FOTO Reuters
Aksi atlet ski alpine negara, Aruwin Idami Salehhuddin di Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing. FOTO Reuters
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pujian harus diberikan kepada atlet ski alpine negara Aruwin Idami Salehhuddin apabila dalam penampilan pertamanya di Sukan Olimpik Musim Sejuk dia berjaya menamatkan saingan dengan sempurna acara giant slalom apabila menduduki tempat ke-38 keseluruhan di Pusat Ski Alpine Nasional Yanqing. Selepas melepasi run 1 pada sebelah pagi, Aruwin sekali lagi berjaya memberikan persembahan sempurna di run 2 sebentar tadi tanpa sebarang kesilapan, terjatuh mahupun terbabas ketika melalui semua pagar dengan mencatat masa satu minit 6.15 saat (s). Jumlah masa keseluruhan yang dicatatkan atlet berusia 17 tahun itu ialah 2:12.28s iaitu 16.59s di belakang pemenang pingat emas Sara Hector dari Sweden (1:55.69s). Pencapaian yang dicatatkan oleh atlet wanita pertama negara di temasya berkenaan sangat memberangsangkan kerana mempunyai disiplin tinggi dan konsisten berbanding negara lain terutama yang beriklim sejuk kerana ada yang lebih perlahan catatan masa atau gagal menamatkan perlumbaan. Hanya 60 peserta beraksi di run 2 dengan 10 daripada mereka gagal menamatkan saingan dengan sempurna manakala wakil Amerika Syarikat, Nina O'Brien dibatalkan penyertaanya walaupun mencatat masa keenam terpantas pada run 1. Perak dalam acara berkenaan diraih Federica Brignone dari Itali (1:55.97s), sekali gus memperbaiki pencapaiannya pada 2018 apabila ketika itu dia hanya meraih gangsa. Lara Gut-Behrami dari Switzerland yang pernah muncul juara dunia sebanyak dua kali sekadar berpuas hati dengan gangsa selepas mengumpul catatan masa 1:56.41s Pada sebelah pagi Aruwin berjaya mara ke run 2 selepas mencatat masa ke-46 terpantas daripada 82 peserta yang mengambil bahagian selepas merakam masa 1:6.13 s. Aruwin mencipta sejarah menjadi atlet wanita pertama berjaya melayakkan diri secara merit tatkala ia adalah kali kedua penyertaan Malaysia di temasya berkenaan. Rabu dia akan kembali ke gelanggang yang sama untuk mengambil bahagian dalam acara slalom wanita, manakala seorang lagi wakil negara, Jeffrey Webb slalom lelaki Rabu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Februari 2022 @ 5:48 PM