JUN Hoong terbabit sukan terjun sejak 1999. FOTO Instagram cheongjunhoong
JUN Hoong terbabit sukan terjun sejak 1999. FOTO Instagram cheongjunhoong
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas Leong Mun Yee kini tiba giliran seorang lagi atlet terjun negara, Cheong Jun Hoong mengumumkan persaraan selepas berbakti kepada negara selama 22 tahun sejak 1999.

Menurut pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu, walaupun dia tetap komited untuk terus mewakili Malaysia dalam sukan terjun dan membanggakan negara namun menerima hakikat kontraknya tidak diperbaharui Majlis Sukan Negara (MSN).

"Dengan itu, saya merakamkan penghargaan kepada MSN, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) atas sokongan mereka selama ini, tanpa mereka saya tidak akan berada di tempat sekarang.

"Saya juga berterima kasih kepada Institut Sukan Negara (ISN) atas sokongan mereka dalam pelbagai cara, termasuk sokongan perubatan diberikan kepada saya membabitkan doktor, ahli fisioterapi pemulihan, kaunselor psikologi dan semua kakitangan lain.

"Terima kasih semua atas sokongan, dorongan dan persahabatan sepanjang perjalanan saya dan untuk semua nasihat dan bimbingan diberikan pada setiap peringkat kerjaya saya. Saya sentiasa bersyukur. Sehubungan itu, saya dengan ini mengumumkan persaraan secara rasmi," katanya dalam media sosial, Facebook.

Jun Hoong yang bergelar juara dunia pada 2017 di Budapest mengakui dia sentiasa percaya seseorang harus tetap merendah diri apabila berjaya dan bertahan walaupun gagal.

"Oleh itu saya menerima kegagalan baru-baru ini dengan tangan terbuka. Sejak menjalani pembedahan lutut kedua pada September 2018,saya hanya menumpukan pada pemulihan dan pada masa sama mengumpulkan keberanian untuk kembali ke beraksi dengan tujuan untuk melakukan yang terbaik di Sukan Olimpik walaupun menghadapi pelbagai halangan.

"Saya akui amat kesal tidak dapat beraksi secara ideal dalam pertandingan walaupun saya sudah berusaha sedaya upaya," katanya.

Persatuan Renang Malaysia (MS) kini perlu mencari calon pengganti dalam acara 10 meter (m) platform dan tiga penerjun dilihat berpotensi untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Jun Hoong iaitu Nur Dhabitah Sabri selain dua penerjun berpotensi dari Sarawak iaitu Kimberly Bong dan Elisha Rania Abrial Rajagopal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 12:13 PM