REAKSI Alvarez selepas menjatuhkan Plant di pusingan ke-11. FOTO AFP
REAKSI Alvarez selepas menjatuhkan Plant di pusingan ke-11. FOTO AFP

Las Vegas: Saul 'Canelo' Alvarez melakar sejarah apabila menewaskan Caleb Plant pada pusingan ke-11 untuk muncul juara dunia super middleweight yang pertama tidak pernah tewas sekali gus merangkul kesemua empat tali pinggang utama kurang dari 12 bulan.

Petinju berusia 31 tahun itu menambah tali pinggang IBF dalam koleksinya selepas memegang gelaran WBC, WBA dan WBO pada pertarungan yang berlangsung di Hotel Grand MGM dekat Las Vegas, hari ini.

Alvarez yang berasal dari Mexico, menjatuhkan Plant dua kali pada pusigan ke-11.

Plant mampu untuk bangkit semula namun petinju dari Amerika Syarikat (AS) itu dilihat tidak berupaya mengekang Alvarez yang menyerangnya di setiap penjuru gelanggang.

Alvarez sebelum ini meraih gelaran WBA dan WBC selepas menewaskan Callum Smith pada Disember 2020.

Dia mempertahankan gelaran itu ketika bertemu Avni Yildirim pada Februari lalu sebelum menewaskan Billy Joe Saunders enam bulan lalu untuk merangkul tali pinggang WBO.

"Bukan mudah untuk meraih pencapaian sehingga tahap ini. Bersama pasukan, saya dapat melangkah sejauh ini.

"Ini untuk semua, terutamanya untuk rakyat Mexico. Kita berjaya melakukannya. Ia membuatkan saya sangat gembira dan bermovitasi untuk menjadi petinju terhebat," kata Alvarez.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 5:58 PM