AKSI Nadal ketika menyertai Terbuka Citi di Washington minggu lalu. FOTO AFP
AKSI Nadal ketika menyertai Terbuka Citi di Washington minggu lalu. FOTO AFP
AFP

Toronto: Rafael Nadal berharap dapat meningkatkan kecergasan selepas pulih daripada kecederaan kaki dalam misi memburu gelaran Masters Toronto ATP, esok.

Juara Grand Slam 20 kali itu meraih lima gelaran Kanada termasuk edisi 2018 dan 2019 tetapi tidak dianjurkan tahun lalu susulan Covid-19.

Bagaimanapun, bintang Sepanyol berusia 35 tahun itu tetap risau dengan kecederaan lama yang menimpanya di Roland Garros pada Mei lalu sekali gus tidak dapat menyertai Wimbledon dan Olimpik.

"Saya berdepan beberapa bulan yang sukar susulan isu fizikal,'' kata Nadal awal pagi tadi.

Nadal pilihan kedua di Toronto menang aksi pertamanya di Washington, Rabu lalu tetapi di Toronto dia bakal menentang pemain ranking ke-50, Lloyd Harris yang menyingkirkannya di ibu kota AS itu jika pemain Afrika Selatan terbabit mengatasi cabaran pemain kelayakan pada aksi pertama.

"Saya masih belum berada pada tahap terbaik tetapi sesi latihan saya di sini lebih baik berbanding di Washington," kata Nadal. "Saya gembira dapat beraksi di sini dan mahu beraksi dengan baik. Saya mahu menyudahkannya dengan bagus.''

Daniil Medvedev yang layak ke suku akhir Olimpik mengetuai senarai pemain di kejohanan itu yang kehilangan dua daripada 'Big 3.'

Pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic masih berehat selepas kecewa dengan prestasinya di Tokyo manakala Roger Federer belum pulih kecederaan lutut sekali gus meletakkan Medvedev dan Nadal sebagai pemain pilihan.

Antara pemain ternama lain yang turut tidak mengambil bahagian ialah pemenang pingat emas Olimpik, Alexander Zverev, Dominic Thiem dan bintang Itali, Matteo Berrettini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 11:39 AM