FARAH Ann (kiri) mengakui tak ada rasa sakit atau kesan sampingan. FOTO Bernama
FARAH Ann (kiri) mengakui tak ada rasa sakit atau kesan sampingan. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi mengakui dia kini lega dan tidak lagi perlu risau akan keselamatan dirinya selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 pertama hari ini.

Farah yang sudah mengesahkan tempat ke temasya Olimpik Tokyo berkata, dia merasa selesa dan tidak mempunyai sebarang kesan gejala selepas menerima suntikan berkenaan.

Bagaimanapun, setiap atlet yang menerima vaksin diminta untuk menangguhkan latihan hari ini sebelum kembali menjalani latihan seperti biasa esok.

"Alhamdulillah saya antara kelompok pertama yang menerima vaksin dan setakat ini semuanya okey dan tak ada rasa sakit atau kesan sampingan.

"Saya rasa selesa. Prosedur hari ini juga berjalan dengan lancar, penjelasan dari pihak yang bertugas juga bagus mudah difahami. Terima kasih kepada semua," katanya.

Farah berkata dia akan mengambil vaksin kedua pada 4 Mei ini sebelum berlepas menyertai kejohanan Piala Dunia di Mesir pada 1 Jun ini.

Sementara itu barisan atlet negara yang sudah mengesahkan tempat ke temasya Olimpik Tokyo Ogos turut menerima suntikan vaksin pfizer yang pertama bersama-sama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Seramai 264 atlet menerima tersenarai sebagai penerima suntikan vaksin Covid-19 sempena program imunisasi Covid-19 Kebangsaan hari ini.

Antara atlet yang terbabit terdiri dari barisan penerjun negara, Pandelela Rinong, Nur Dhabitah Sabri, Wendy Ng, Ooi Tze Liang, Chen Yiwei, Cheong Jun Hoong dan Leong Mun Yee. Dalam perkembangan yang sama atlet berbasikal negara Muhammad Fadhil Zonis menjadi atlet pertama negara menerima suntikan vaksin Covid-19.

Pemegang rekod acara 1 kilometer itu menerima suntikan berkenaan di Dewan Kompleks Desa Tasik Cheras pada jam 8.20 pagi yang mana vaksin tiba di lokasi berkenaan pada jam 8.07 pagi.

Fadhli ketika ditemui mengakui lega namun pada masa yang sama mengakui agak berdebar apabila dimaklumkan dia adalah atlet pertama menerima vaksin.

Dia kini dalam persiapan untuk ke Piala Negara-Negara di Hong Kong Jun ini menjalani latihan di Velodrom Nilai, Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 11:16 PM