JUN Hoong (tiga kanan) meraikan kejayaan bersama kedua ibubapanya setelah memenangi pingat emas acara 10m platform individu wanita pada Kejohanan Dunia Konvederasi Renang Antarabangsa 2017.
JUN Hoong (tiga kanan) meraikan kejayaan bersama kedua ibubapanya setelah memenangi pingat emas acara 10m platform individu wanita pada Kejohanan Dunia Konvederasi Renang Antarabangsa 2017.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persekutuan Renang Malaysia (Mas) yakin keupayaan penerjun negara, Cheong Jun Hoong untuk melayakkan diri ke temasya Olimpik Tokyo apabila turun beraksi di Kejohanan Piala Dunia Terjun Fina 2021 di Pusat Akuatik Tokyo, Jepun pada 18 hingga 23 April ini.

Berdasarkan keadaan semasa juara dunia 2017 itu, Jun Hoong kini sudah bersedia sepenuhnya dan berada dalam keadaan terbaik untuk beraksi.

Setiausaha Mas, Mae Chen ketika ditemui berkata, beliau yakin akan kemampuan Jun Hoong dan berdasarkan prestasinya Jun Hoong dilihat tidak berdepan masalah k melepasi syarat kelayakan ke temasya Olimpik sekali gus mengulangi pencapaian empat tahun lalu ketika meraih perak di Sukan Olimpik Rio dalam acara 10m seirama bergandingan bersama Pandelela Rinong.

"Jun Hoong kini sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan dia dilihat sudah bersedia dari segi mental dan fizikal. Saya juga melihat dia seorang atlet kuat semangat dan beraksi di Piala Dunia itu nanti bukan satu yang masalah baginya.

"Untuk layak ke Olimpik dalam acara individu dia perlu menempatkan diri dalam kelompok 18 terbaik yang mana bagi negara sudah melayakkan diri, tempat mereka akan diambil oleh negara yang berkedudukan ke-19 dan selanjutnya.

"Itu sebab kami mahu sangat kejohanan Piala Dunia ini dianjurkan kerana ia memberi peluang lebih besar kepada atlet negara melayakkan diri," katanya.

Jun Hoong menyertai Kejohanan Terjun Antarabangsa Malaysia secara maya pertama di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, bulan lalu dan itu saingan pertama sejak Mei 2018.

Penerjun kelahiran Perak itu kali terakhir menyertai kejohanan pada pusingan akhir Siri Terjun Dunia di Kazan, Rusia pada Mei 2018, di mana dia memenangi pingat gangsa dalam acara 10m seirama bersama seorang lagi penerjun negara, Pandalela Rinong.

Sejak itu, Jun Hoong menjalani rehabilitasi sejak menarik diri daripada Sukan Asia Indonesia pada Ogos 2018 untuk menjalani pembedahan kecederaan lutut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 4:25 PM