PEMAIN Pakistan Usama Bashir cuba melepasi kawalan pemain negara. FOTO Reuters
PEMAIN Pakistan Usama Bashir cuba melepasi kawalan pemain negara. FOTO Reuters
Syafiq Aznan


Hangzhou: Skuad hoki lelaki negara menamatkan saingan Sukan Asia 2022 di sekadar tangga keenam selepas tumbang 2-5 di tangan Pakistan pada penentuan tempat kelima dan keenam di Stadium Gongshu Canal Park, hari ini.

Ia pastinya menjadi kisah menyedihkan buat 'Speedy Tigers' terutama selepas mengambil kira reputasi dimiliki mereka di benua ini apatah lagi mereka pasukan nombor dua Asia.

Pada aksi terbabit, Malaysia terlebih dahulu di depan menerusi pukulan sudut penalti yang dimanfaatkan Muhammad Aminuddin Mohd Zain pada minit kelima namun dibalas pukulan sudut penalti Ahmad Arbaz tiga minit berselang.

Kedua-dua pasukan gagal menambah sebarang gol dalam tempoh 15 minit suku kedua namun gol padang Abdul Rehman pada minit ke-37 membolehkan Pakistan mendahului permainan.

Aksi bertambah rancak pada suku keempat yang menyaksikan Pakistan terus garang menyumbat dua gol lagi menerusi pukulan sudut penalti Abdul Rana (m51) dan gol padang Ammad Muhammad (m53) untuk Malaysia terus ketinggalan tiga gol.

Razie Rahim mengurangkan defisit kepada 4-2 pada minit ke-58 namun Pakistan menambah garam ke luka Malaysia dengan gol kelima hasil gol padang Afraz pada minit ke-59.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2023 @ 3:34 PM