SKUAD hoki negara bukan sekadar pelengkap kumpulan di India.
SKUAD hoki negara bukan sekadar pelengkap kumpulan di India.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Arul Selvaraj mahu memastikan anak buahnya mengharungi perlawanan berkualiti menjelang saingan Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar, India dari 13 hingga 29 Januari tahun depan.

Jelas Arul, hanya dengan aksi kompetitif bertemu pasukan menduduki ranking lebih baik daripada Malaysia membolehkan skuad negara mampu menjadi pesaing di Piala Dunia dan bukannya sekadar pelengkap jadual.

"Matlamat saya adalah kita perlu bermain menentang pasukan terbaik dunia. Sebelum Piala Asia sebelum ini, kita pergi ke Australia dan bermain dengan pasukan terbaik dunia.

"Jadi, kami mahu bermain menentang pasukan terbaik, berlatih dengan pasukan terbaik dan belajar daripada pasukan terbaik," katanya.

Untuk memenuhi impian itu katanya, skuad negara dijangka mengharungi 25 hingga 35 perlawanan ujian menentang pasukan dalam kelompok terbaik dunia.

Ia bermula dengan terbang ke Sepanyol untuk empat aksi perlawanan persahabatan pertengahan September depan.

Selepas aksi di Sepanyol, skuad negara akan beraksi dalam saingan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh bermula 1 hingga 10 November depan di mana yang negara bakal menyertai kejohanan jemputan itu masih belum dimuktamadkan.

Skuad negara kemudian akan menyertai Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) di Potchefstroom, Afrika Selatan dari 28 November hingga 4 Disember.

"Kedua-dua kejohanan berkenaan menawarkan mata dan secara tidak langsung ia boleh memperbaiki kedudukan ranking pasukan selain sebahagian daripada persiapan untuk ke Piala Dunia.

"Selepas itu pula, kami mempunyai perancangan untuk menentang New Zealand, sama ada kami ke sana atau mereka datang sini akan diputuskan. Jadi, setakat ini perancangan kami semuanya adalah berkisar untuk persiapan ke Piala Dunia," katanya.

Skuad hoki negara menempah tiket ke Piala Dunia 2023 selepas muncul naib juara Piala Asia yang berlangsung di Jakarta, Indonesia, bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2022 @ 5:34 PM