SKUAD hoki negara ketika bertemu Fiji pada Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Dhaka, Bangladesh, bulan lalu.
SKUAD hoki negara ketika bertemu Fiji pada Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Dhaka, Bangladesh, bulan lalu.
Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: England bakal menjadi saksi sama ada skuad hoki lelaki negara layak ke Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India selepas diletakkan untuk beraksi di London pada saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia - halangan terakhir untuk mencari tiket ke Piala Dunia.

Perkara itu diumumkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) yang menyaksikan Malaysian Tigers diletakkan bersama-sama Kanada, China dan Scotland yang layak ke Separuh Akhir Liga Hoki Dunia menerusi Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia.

Enam lagi pasukan yang diletakkan bersama Malaysia dan sudah melayakkan diri adalah pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio Argentina, juara Eropah Belanda, juara Asia India, Pakistan, Korea Selatan serta England selaku tuan rumah.

Aksi di London itu akan dilangsungkan pada 15 hingga 25 Jun.

Satu lagi aksi Separuh Akhir Liga Hoki Dunia akan berlangsung di Johannesburg, Afrika Selatan dari 8 hingga 23 Julai.

Pasukan diletakkan dalam saingan itu ialah Ireland, Jepun, Perancis, Mesir, Australia, Belgium, Jerman, New Zealand, Sepanyol dan Afrika Selatan selaku tuan rumah.

Bagi ketua jurulatih skuad hoki negara Stephen Van Huizen, tidak banyak bezanya sekiranya Malaysia diletakkan di London atau Johannesburg.

“Sebab kita bukan menduduki ranking yang tinggi jika diletakkan di kedua-dua lokasi.

“Apapun sasaran utama adalah untuk sekurang-kurangnya menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan empat pasukan terbaik.

“Sebab pasukan yang menduduki tangga kelima tidak akan berpeluang untuk melangkah ke suku akhir.

“Jika boleh kami mahu menamatkan kedudukan paling baik di saingan peringkat kumpulan agar dapat mengelak bertemu pasukan menduduki ranking jauh lebih baik pada aksi akhir,” katanya.

Tegas Stephen, sekiranya skuad negara mahu menyimpan impian layak ke Piala Dunia 2018, maka beliau berharap barisan pemainnya memberikan aksi jauh lebih baik.

Skuad negara muncul juara pada pusingan kedua di Dhaka, Bangladesh, bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2017 @ 8:18 AM