ARUL (kiri) memberi kata-kata semangat kepada pemain hoki negara. FOTO ihsan MHC.
ARUL (kiri) memberi kata-kata semangat kepada pemain hoki negara. FOTO ihsan MHC.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Tahun 2022 adalah peluang terbaik untuk skuad hoki negara muncul sebagai juara Piala Asia.

Itu nada diluahkan penyerang berpengalaman negara, Faizal Saari yang kini dilabel penyerang nombor satu kebangsaan selepas muncul penjaring terbanyak Liga Hoki Malaysia (MHL).

Malah, dia turut meledakkan tiga gol ketika membelasah Bangladesh 8-1 selain turut mencatatkan sebagai penjaring ketika membenam Oman 7-0 di Piala Asia yang kini berlangsung di Jakarta.

Turut senada dengan pemain itu adalah pengendali skuad senior lelaki, A Arulselvaraj yang menjelaskan bagi fasa 2022, hasrat pasukan bimbingannya adalah memenangi kejohanan di peringkat Asia terlebih dahulu dan mahu mengambil satu langkah demi satu langkah dalam satu masa.

"Misi pasukan dan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) adalah layak ke Piala Dunia 2023 yang sudah tercapai dan kini yang tinggal adalah misi pemain iaitu memenangi Piala Asia 2022.

"Segala-galanya terletak kepada pemain untuk menggapai hasrat itu demi Malaysia dan menyempurnakan sasaran MHC.

"Sukan Asia bagi tahun ini ditunda dan ini bermakna Piala Asia 2022 adalah satu-satunya kejohanan tinggal di peringkat Asia," katanya.

Malaysia layak beraksi dalam saingan Super 4 bersama Korea Selatan, Jepun dan India beraksi secara liga sepusingan dengan dua pasukan teratas akan berentap di pentas final.

Sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1982, Malaysia belum pernah muncul juara dengan pencapaian terbaik adalah naib juara pada 2017 yang juga edisi terakhir kejohanan itu apabila tewas 1-2 kepada India di Dhaka, Bangladesh.

Malaysian Tigers akan membuat penampilan kali kesembilan di Piala Dunia yang dijadualkan berlangsung pada 13 hingga 29 Januari 2023 di India.

Terdahulu, skuad negara mara ke saingan Super 4 selaku juara Kumpulan B selepas menang semua tiga perlawanan ke atas Korea Selatan, Oman dan Bangladesh.

Perlawanan pertama Malaysia dalam saingan Super 4 itu adalah menentang Korea Selatan pada 5 petang esok (waktu Malaysia).

Empat pasukan dari benua Asia akan menyertai 12 lagi pasukan di Piala Dunia 2023 iaitu Belgium, England, Jerman, Belanda, Sepanyol, Perancis, Wales, Afrika Selatan, Argentina, Chile, Australia dan New Zealand.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2022 @ 2:50 PM