Dua belas pemain menunjukkan kain rentang pasukan yang diwakili mereka pada eMFL 2021 selepas majlis pelancaran dan Undian Unifi eMFL Liga Super. FOTO Bernama
Dua belas pemain menunjukkan kain rentang pasukan yang diwakili mereka pada eMFL 2021 selepas majlis pelancaran dan Undian Unifi eMFL Liga Super. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) meneruskan penganjuran unifi eMFL Liga Super kali kedua di mana kejohanan sukan elektronik bola sepak itu bakal membuka tirai bermula 20 April sehingga 9 Mei ini.

Apa yang pasti, unifi yang masih tampil sebagai penaja utama menjadikan kejohanan eMFL lebih berprestij apabila hadiah terkumpul bernilai RM50,000 menanti pemenang di mana nilai hadiah kejuaraan itu menjadi angka paling tinggi dalam sukan elektronik bagi permainan FIFA 21 di Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, beliau optimis kenaikan nilai hadiah pertandingan berformatkan konsol itu bukan sahaja memberikan suntikan moral kepada barisan pemain-pemain yang bakal bermain dalam unifi eMFL Liga Super kali kedua ini.

Malah, beliau yakin unifi eMFL Liga Super itu turut membuka peluang kepada semua pihak untuk menunjukkan potensi mereka di masa akan datang sekali gus unifi eMFL Liga Super mampu menjadi salah satu platform pembangunan atlet sukan elektronik pada masa akan datang.

"Kita tidak boleh menafikan bahawa sukan elektronik semakin berkembang pesat dan karier pemain-pemain sukan elektronik juga berada di prestasi yang boleh dibanggakan.

"Kejohanan unifi eMFL Liga Super adalah satu perkembangan baik kepada golongan atlet sukan elektronik dan lebih positif, Liga Malaysia dapat dikembangkan melalui saluran digital.

"Harapan saya adalah mahu melihat setiap pemain dapat memberikan yang terbaik ketika kejohanan unifi eMFL Liga Super bermula nanti dan saya percaya kenaikan nilai hadiah sebanyak RM50,000 bukan sahaja menambah nilai prestij kejohanan malah memberikan semangat kepada pemain juga pihak di luar sana untuk memasang impian bermain di eMFL pada suatu hari nanti," katanya.

Majlis pelancaran dan undian unifi eMFL Liga Super 2021 berlangsung di Wisma FAM, di sini, yang dihadiri oleh Ahli Lembaga Pengarah, Datuk Kamarul Ariffin dan Pengarah Am Peraturan dan Pengurusan Telekom Malaysia Selangor, Azrin Aris.

Sementara itu, Pengarah Urusan Gamesbond Global Sdn Bhd, Fazli Razak, melahirkan rasa gembira selepas menyaksikan unifi eMFL Liga Super dapat diteruskan buat kali kedua pada tahun ini.

Sebagai rekod, MFL melantik Gamesbond penganjur kejohanan sukan elektronik sebagai rakan ekslusif dalam sama-sama mengurus dan mempromosikan kejohanan unifi eMFL Liga Super.

"Unifi eMFL Liga Super tahun ini dilihat dapat membantu pemain bersaing di peringkat yang tertinggi di Malaysia dan ianya dapat membawa pemain bermain di kejohanan antarabangsa.

Gamesbond komited untuk meneruskan kerjasama bersama pihak MFL untuk mengangkat komuniti ini ke tahap yang lebih baik," kata Fazli.

Kejohanan unifi eMFL Liga Super akan disiarkan secara langsung menerusi platform laman sosial Facebook milik MFL, eMFL dan Gamesbond bermula 20 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 7:12 PM