GOULON sudah meledak lima gol setakat ini. FOTO NSFC
GOULON sudah meledak lima gol setakat ini. FOTO NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kedudukan sama ada pemain pertahanan berbisa Negeri Sembilan FC (NSFC), Harold Goulon dapat beraksi pada pertembungan dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada aksi Liga Super malam esok, masih belum dapat ditentukan.

Biarpun khidmat pemain import itu yang sudah meledak lima gol setakat ini amat ditagih dalam usaha mempertahankan bahagian benteng skuad Hobin Jang Hobin, namun kedudukannya hanya diketahui menjelang perlawanan esok.

Ini ditegaskan Penolong Ketua Jurulatih NSFC, K Nanthakumar, yang menjelaskan bahawa pemain pertahanan utama pasukan itu masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan dan belum dapat dipastikan sama ada dia boleh beraksi di Stadium Darul Aman itu.

"Saya tidak dapat pastikan lagi sama ada Goulon boleh beraksi atau tidak dan ia akan bergantung kepada tahap kecergasannya.

"Namun, apa yang pasti kita tidak dapat menurunkan Matheus Alves yang menerima kad merah ketika aksi menentang Johor Darul Ta`zim (JDT) di Paroi tempohari.

"Posisi beliau selaku penyerang utama pasukan akan diganti dengan pemain lain yang sudah dikenal pasti," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nanthakumar berkata, pemain Negeri Sembilan dituntut memperagakan aksi mantap dan bertenaga dalam memastikan misi mendapatkan tiga mata dapat direalisasikan.

Menurutnya, biarpun beraksi di gelanggang lawan, namun usaha mengekalkan kedudukan di tangga kedua carta liga perlu dipertahankan.

"Kami turun ke Alor Setar dengan misi mendapatkan kemenangan walaupun kelebihan pada tuan rumah, tetapi Negeri Sembilan perlu menang untuk kekalkan kedudukan di tangga kedua carta liga dan mengelak daripada pasukan lain mencabar kedudukan itu.

"Memang ia suatu tugas yang mencabar namun pemain perlu lakukan jika mahu mempertahankan reputasi pasukan. Saya berharap segala perancangan dilakukan membuahkan hasil dengan keputusan positif dicapai di Alor Setar nanti," kata bekas pemain kebangsaan itu.

Negeri Sembilan yang tewas tipis 1-0 kepada JDT sebelum ini, kini berada di tangga kedua carta Liga Super dengan mengumpul 14 mata hasil empat kemenangan dan dua seri daripada tujuh perlawanan dilalui.

Kedah mengekori rapat di tangga ketiga dengan 13 mata selepas menamatkan lapan perlawanan hasil empat kemenangan, tiga tewas dan seri sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 10:08 PM