HADIN (kiri) ketika aksi persahabatan menentang Terengganu FC, Khamis lalu. FOTO IHSAN NSFC
HADIN (kiri) ketika aksi persahabatan menentang Terengganu FC, Khamis lalu. FOTO IHSAN NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Penyerang berpengalaman, Muhammad Hadin Azman masih memasang impian untuk kembali beraksi dalam pasukan kebangsaan dan mahu menjadikan penampilan bersama Negeri Sembilan FC (NSFC) musim ini sebagai detik kebangkitannya.

Selepas kali terakhir bersama skuad Harimau Malaya antara 2016-2019, pemain sayap lincah kelahiran Kuala Lumpur berusia 29 tahun ini berharap berpeluang sekali lagi untuk mencurah bakti dengan pasukan kebangsaan.

Hadin mengharapkan kehadiran pertamanya bersama skuad Hobin Jang Hobin dapat memberi impak positif kepada kekuatan pasukan itu menjelang kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini, yang akan membuka tirainya, bulan depan.

"Impian untuk bersama skuad kebangsaan sentiasa tertanam dalam hati ini. Saya berharap berpeluang untuk kembali bersama Harimau Malaya sekali lagi selepas mencurah bakti dari 2016 hingga 2019.

"Saya perlu bekerja keras dengan menunjukkan persembahan terbaik dalam setiap perlawanan Liga Malaysia musim ini, dan menggunakan peluang yang ada untuk memikat pengendali kebangsaan, Kim Pan-gon, selain membantu menjulang nama Negeri Sembilan," katanya hari ini.

Bekas pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC itu akui selesa dengan skuad baru yang disertainya sebulan lalu dan berazam mahu memastikan setiap kesungguhannya itu dapat memberi impak positif kepada kejayaan Negeri Sembilan.

"Alhamdulilah setakat ini, saya diterima baik rakan-rakan dalam pasukan dan kami dalam proses untuk membina kekuatan baharu.

"Sasaran saya untuk kembali mempamerkan kebangkitan dan beraksi cemerlang dengan membantu bahagian sayap dan serangan Negeri Sembilan untuk mencapai sasaran ditetapkan musim ini.

"Insya-Allah tahun ini akan ada kejutan daripada pasukan Negeri Sembilan," kata bekas pemain Penang FC, Felda United FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC itu.

Pada musim lalu ketika bersama Penang, Hadin mencatatkan empat jaringan dan tiga bantuan gol dalam 21 perlawanan, namun pemain ini pernah memperagakan aksi terbaiknya dengan meledak 30 gol dalam 60 penampilan dari 2015 hingga 2019 ketika bersama Felda United.

Sebagai rekod, Hadin yang pernah menyertai Harimau Muda B juga pernah menarik minat kelab luar negara, PSV Eindhoven dan Vitesse Arnhem sebelum dipinjamkan ke Johor Darul Takzim FC (JDT).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2024 @ 5:29 PM