SEBAHAGIAN aksi persahabatan antara Negeri Sembilan dengan Putrajaya FC di Stadium UPM Serdang malam tadi. FOTO IHSAN NSFC
SEBAHAGIAN aksi persahabatan antara Negeri Sembilan dengan Putrajaya FC di Stadium UPM Serdang malam tadi. FOTO IHSAN NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Penolong ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), K Nanthakumar akui pemain pasukan itu belum mencapai tahap prestasi terbaik selepas memulakan sesi latihan pada awal bulan ini.

Beliau yang kekal menjawat jawatan berkenaan bagi musim ini, yakin prestasi skuad Hobin Jang Hobin akan dapat ditingkatkan menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024-2025, pada Mei depan.

"Kita menjangkakan akan ada lebih banyak peningkatan ditunjukkan pemain dalam perlawanan-perlawanan yang akan diadakan selepas ini.

"Memang kita merancang untuk mengadakan lebih banyak aksi pemanas badan sebagai persiapan memantapkan pasukan sebelum saingan liga musim ini bermula.

"Tidak dinafikan banyak aspek yang perlu ditingkatkan terutama pada bahagian serangan, namun setakat ini banyak kemajuan dicapai," katanya mengulas mengenai aksi persahabatan dengan Putrajaya FC yang berlangsung di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor, malam tadi.

Dalam aksi itu, Negeri Sembilan tewas kepada pasukan lawan, 1-0.

Mengulas lanjut, Nanthakumar akui masih terlalu awal untuk mengukur prestasi sebenar Negeri Sembilan musim ini kerana pembentukan pasukan baharu bermula dan latihan belum sampai sebulan.

Menurutnya, walaupun terdapat sebahagian pemain musim lalu dikekalkan, namun suasana tidak sama kerana ramai juga pemain baharu yang dibawa masuk terutama import.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, anak buahnya juga masih dalam proses membentuk keserasian antara satu sama lain.

"Namun saya yakin geraf prestasi pasukan akan terus meninggi selepas ini termasuk pada aksi persahabatan seterusnya menentang Terengganu FC, di Seremban, pada 4 April nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 12:28 PM