MAHALI pilih pasukan berpangkalan di Lembah Klang bagi musim baharu 2024/2025. FOTO IHSAN NSFC
MAHALI pilih pasukan berpangkalan di Lembah Klang bagi musim baharu 2024/2025. FOTO IHSAN NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Meskipun beraksi sebanyak 25 perlawanan bersama Negeri Sembilan FC (NSFC) sepanjang saingan Liga Malaysia (Liga M) musim lalu, namun jodoh penyerang berpengalaman, Mahali Jasuli dengan pasukan terbabit tidak berpanjangan.

Pemain berusia 34 tahun itu memutuskan untuk berhijrah kepada pasukan lain bagi menghadapi saingan Liga M musim 2024-2025, yang dijadualkan akan membuka tirainya, 10 Mei depan.

Pengurusan NSFC sendiri mengesahkan Mahali tidak akan meneruskan khidmatnya bersama Negeri Sembilan musim ini.

"Mahali tidak lagi bersama Negeri Sembilan bagi kempen Liga M musim 2024-2025. Beliau telah beraksi sebanyak 25 perlawanan untuk Negeri Sembilan dan telah menjaringkan satu gol.

"Semoga Mahali berjaya bersama pasukan baharu. Kami amat menghargai sumbangan beliau dan mengucapkan terima kasih atas semangat juang serta dedikasi yang telah diberikan kepada pasukan," kata NSFC hari ini.

Sepanjang tempoh aksi Liga M musim 2023, Mahali dilihat antara pemain yang menjadi sandaran utama skuad Hobin Jang Hobin bimbingan K Devan, terutama dalam menerajui barisan serangan pasukan berkenaan.

Malah, tahap disiplin dan komitmen tinggi dipamerkan terhadap pasukan meletakkan pemain kelahiran Selayang Selangor itu dihormati rakan dan pasukan lawan apabila dia boleh beraksi dalam tempoh 90 minit perlawanan sekali gus memberi kelebihan kepadanya berbanding sesetengah pemain muda.

Sementara itu, Mahali ketika dihubungi memaklumkan bahawa dia bakal menyertai sebuah pasukan Liga Super yang berpangkalan di Lembah Klang.

Dia bagaimanapun belum mahu mendedahkan nama pasukan terbabit kerana proses menandatangani kontrak sedang berjalan selepas persetujuan dicapai antara kedua-dua pihak.

"Pasukan baharu itu berpangkalan di Lembah Klang, persetujuan sudah dicapai dan proses menandatangani kontrak dijangka dalam masa terdekat kerana saya diberitahu pasukan mahu memulakan latihan persiapan pertengahan bulan ini.

"Biar saya tandatangan kontrak dulu baharu boleh umumkan (nama pasukan)," kata bekas pemain Johor Darul Ta`zim (JDT) dan Petaling Jaya (PJ) City FC itu.

Negeri Sembilan yang sedang dalam persiapan menghadapi kempen Liga M musim ini dijangka bakal mempertaruhkan sebahagian besar pemain muda apabila setakat ini sudah mengekalkan tujuh pemain berkenaan.

Mereka membabitkan R Aroon Kumar, N Javabilaarivin, Amirul Hakimi Rosli, Afiq Fitri, Harith Samsuri, Zainal Abidin Jamil dan Izzudin Roslan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 12:32 PM