AKSI penyerang Nigeria, Victor Osimhen (kanan) ketika bertemu Ivory Coast di pentas final AFCON. FOTO AFP
AKSI penyerang Nigeria, Victor Osimhen (kanan) ketika bertemu Ivory Coast di pentas final AFCON. FOTO AFP
AFP

Abuja: Presiden Nigeria memberi anugerah penghormatan, sebidang tanah dan rumah pangsa kepada pasukan bola sepak kebangsaan kerana berjaya mara ke final Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).

Super Eagles tewas 1-2 kepada tuan rumah, Ivory Coast di Abidjan, Isnin lalu, tetapi Presiden Nigeria, Bola Ahmed Tinubu berkata beliau berbangga dengan pencapaian pasukan itu.

Setiap pemain dalam skuad kebangsaan menerima anugerah Order of the Niger, salah satu penghormatan tertinggi negara itu, serta sebuah flat dan sebidang tanah di wilayah sekitar ibu negara.

Tinubu yang mengalu-alukan kehadiran pasukan itu di vila presiden dekat Abuja berkata, dia berbangga dengan pasukan itu walaupun sukar untuk menerima kekalahan.

"Biarlah peristiwa yang sudah berlalu itu tidak mematahkan semangat kita tetapi membawa kita bersama-sama untuk bekerja lebih keras," katanya.

"Kepada belia Nigeria yang disayangi, anda mampu menjadi wira kami seterusnya, jangan mengalah dalam mengejar impian anda.

"Pentadbiran saya di sini akan merealisasikan impian anda," katanya.

Sejak memegang jawatan berkenaan pada tahun lalu, Tinubu sudah menamatkan subsidi bahan api dan kawalan mata wang, membawa kepada kenaikan tiga kali ganda harga petrol dan lonjakan kos sara hidup apabila matawang naira merosot mendadak berbanding dolar.

Ramai rakyat Nigeria berharap kemenangan akan membawa kegembiraan yang amat diperlukan ketika mereka bergelut di bawah krisis ekonomi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2024 @ 10:39 AM