AKMAL Rizal. FOTO NSTP
AKMAL Rizal. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penang FC akan tampil lebih menyakinkan untuk musim 2024-2025 apabila mengumumkan bekas penyerang skuad kebangsaan Akmal Rizal Ahmad Rakhli secara rasminya sebagai ketua jurulatih pasukan terbabit.

Pengumuman itu jelas sekali bakal meniup semangat pasukan terbabit bagi mencipta keputusan positif apabila saingan Liga Super membuka tirai Mei depan.

Pengendali berusia 42 tahun terbabit yang baru sahaja mendapat lesen kejurulatihan, AFC Pro Diploma baru-baru ini.

Sebelum ini, Akmal Rizal memegang peranan sebagai ketua jurulatih sementara untuk baki tiga perlawanan Liga Super pada musim lalu menggantikan Manzoor Azwira.

Sepanjang tempoh itu, Akmal Rizal berhasil mengemudi Penang FC mencatatkan satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan sekali gus menamatkan saingan Liga Super 2023 di tangga ke-10.

Sementara itu, Manzoor yang turut mendapat lesen AFC Pro Diploma bersama-sama Akmal Rizal sekitar pertengahan November lalu dilantik sebagai ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun iaitu Penang FC II.

Selain itu, Penang FC turut mengumumkan melantik legendanya dari Maghribi, Merzagua Abderrazzak sebagai Pengarah Teknikal.

Individu berusia 57 tahun ini pernah menyertai Penang FC yang dahulunya dikenali sebagai Pulau Pinang selaku pemain pada era 90-an.

Merzagua cukup diingati oleh penyokong tegar Harimau Kumbang terutamanya ketika menjadi hero membantu Pulau Pinang mendakap kejuaraan Liga Perdana Satu pada tahun 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 2:01 PM