GAMBAR Messi dipaparkan ketika dipilih sebagai Pemain Terbaik Lelaki 2023 di London, malam tadi. FOTO REUTERS
GAMBAR Messi dipaparkan ketika dipilih sebagai Pemain Terbaik Lelaki 2023 di London, malam tadi. FOTO REUTERS
AFP

London: Lionel Messi mungkin sudah meninggalkan bola sepak Eropah, tetapi dia kekal menjadi tarikan apabila diumumkan Pemain Terbaik Lelaki Fifa 2023.

Pemilihan pemain berusia 36 tahun itu yang mengatasi pencabar seperti Erling Haaland dan Kylian Mbappe dianggap kontroversi apabila Messi dilihat mengambil langkah 'menurunkan' standard dengan menyertai Inter Miami di Major League Soccer (MLS).

Bagaimanapun, kuasa tarikan Messi masih dibuktikan pada tahun lalu apabila dia pantas menakluk Amerika Syarikat (AS).

Pemenang lapan kali Ballon d'Or itu memastikan trofi sulung buat skuad bermasalah yang dimiliki bersama oleh David Beckham itu dengan memenangi Piala Liga pada Ogos.

Dia sebelum ini memenangi satu lagi gelaran liga bersama Paris Saint-Germain (PSG) sebelum meninggalkan Eropah, tetapi beberapa bulan terakhirnya di ibu negeri Perancis itu bukan mudah.

Messi bukan saja dicemuh penyokong PSG, malah digantung oleh kelab itu kerana perjalanan tidak diluluskan untuk menyempurnakan kontrak pengiklanan di Arab Saudi.

Ia menjadi satu tamparan buat pemain genius itu yang dianggap zaman kemuncaknya mengatasi semua pemain lain sebelumnya.

Jika Haaland merasa terkilan kerana masanya belum tiba selepas menjaringkan 52 gol dan memenangi treble pada musim sulung bersama Manchester City, dia perlu mendengar dan patuh kepada pengurusnya.

Pep Guardiola turut dianugerahkan sebagai Jurulatih Terbaik Tahunan pada majlis di London itu, selepas memastikan City merangkul trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Piala FA Inggeris, musim lalu.

Guardiola sedar generasi pemain hebat dimilikinya termasuk ketika menjadi pengurus kepada Messi selama empat tahun di Barcelona.

"Saya selalu katakan Ballon d'Or sepatutnya diadakan untuk dua bahagian iaitu satu untuk Messi dan satu lagi untuk pemain lain, jadi Haaland sepatutnya menang,
kata Guardiola menjelang majlis Ballon d'Or pada Oktober depan.

"Kami menang treble kerana dia menjaringkan 50 juta gol, tetapi sudah tentu Messi...musim terburuk bagi Messi adalah musim paling hebat buat pemain lain."

Jumlah 672 gol dijaringkan dalam 778 penampilan untuk Barca menyaksikan pemain licik itu menjadi gergasi serta nama besar dalam bola sepak moden.

Pemain sayap bertubuh kecil yang memerlukan Barcelona membayar hormon tumbesaran ketika remaja menjadi pemain 'false nine' yang tajam, pengambil sepakan percuma cemerlang serta perancang berbisa.

Malah, Messi turut memastikan Argentina menjulang trofi Piala Dunia Qatar 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 7:56 AM