Agensi

Miami: Bekas penyerang Barcelona, Luis Suarez kembali bergabung bersama rakan sepasukannya di Nou Camp Lionel Messi apabila kali ini beraksi buat Inter Miami di Liga Bolasepak Utama (MLS) bagi musim 2024.

Perpindahan Suarez ke Inter Miami membolehkan peminat kelab itu menyaksikan 'magis' yang bakal dicipta kedua-dua pemain itu seperti mana ketika beraksi bersama Barcelona sebelum ini.

Suarez, 36, mengikat kontrak selama semusim bersama kelab yang kini dimiliki David Beckham di mana beberapa bekas pemain Barcelona turut menyambut kehadiran bintang antarabangsa Uruguay itu seperti Jordi Alba dan Sergio Busquets.

Menerusi pengumuman di laman sesawang kelab itu, Suarez berjaya diikat dan kelab mengalu-alukan kehadirannya.

"Inter Miami CF menandatangani pemenang Liga Juara-Juara UEFA, Piala Kelab Dunia Fifa dan pemenang Copa America dan juara La Liga sebanyak lima kali, Luis Suarez bagi musim 2024," kata kelab itu.

Musim ini, Suarez beraksi buat Gremio dan dia dinamakan pemain terbaik dan penyerang terbaik dalam kancah Liga Brazil apabila menyumbat 26 gol dan mencipta 17 bantuan jaringan untuk memenangi liga serantau dan kejuaraan berganda.

Beckham juga meluahkan rasa terujanya menerusi laman sesawang rasmi Miami dan yakin kualiti pasukan itu akan meningkat.

"Kami gembira mempunyai pemain yang berkualiti dan bersemangat seperti Luis untuk menyertai kelab kami. Dia menyertai skuad yang mampu mencetuskan inspirasi kepada generasi akan datang.

"Kami tidak sudah sabar untuk melihatnya turun ke padang bersama bekas rakan sepasukannya di Barcelona selain pemain muda daripada akademi kami," kata Beckham.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2023 @ 11:19 AM