SOLARI menjawab soalan pada sidang media menjelang perlawanan dengan BG Pathum. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
SOLARI menjawab soalan pada sidang media menjelang perlawanan dengan BG Pathum. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Esteban Solari tetap serius membuat persiapan rapi bagi melayan kelab Thailand, BG Pathum United FC pada aksi terakhir Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, petang esok.

Solari berkata, walaupun perlawanan itu tidak memberi erti tatkala kedua-dua pasukan sudah tidak layak beraksi di pusingan 16 terbaik, ia dilihat sebagai pertembungan menjaga maruah dan mahu membuktikan kemenangan 4-2 ke atas BG Pathum pada aksi 3 Oktober lalu bukan nasib semata-mata.

Katanya, JDT tetap berwaspada dengan ancaman skuad kendalian Surachai Jaturapattarapong yang pasti mahu menebus kekalahan lalu, lebih-lebih lagi pasukan itu berada di kedudukan kedua Liga 1 Thailand (Liga 1 Thai).

"Mereka dibarisi pemain berkualiti dan sepanjang 12 perlawanan liga di Thailand, mereka hanya tewas satu perlawanan, jadi untuk berdepan mereka kali kedua sudah tentu mencabar kerana setiap aksi ACL memang sukar.

"Tapi agak malang apabila saya terpaksa melupakan dua tonggak utama iaitu Corbin Ong dan Shane Lowry yang perlu disisihkan dalam perlawanan esok selepas cedera di aksi final Piala Malaysia, baru-baru ini, dan semuanya akibat padang yang teruk di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

"Kelibat Shio Hong Wan pula terpaksa dilupakan selepas dia digantung satu perlawanan akibat mengumpul dua kad kuning dan sudah tentu akan ada rombakan kecil dan saya sudah kenal pasti siapa yang bakal turun mengisi kekosongan Shane, Corbin dan Hong Wan," katanya.

Solari menegaskan aksi menentang BG Pathum memberi impak terhadap perkembangan bola sepak di Malaysia bagi memastikan mereka mampu untuk menandingi kelab dari Thailand.

Bagaimanapun, dia tidak menafikan barisan pemain BG Pathum perlu diberi perhatian terutama pemain yang bersama skuad kebangsaan Thailand selain kelibat barisan pemain import berkualiti dan mampu beri ancaman ke kubu JDT.

"Mereka memiliki pemain seperti Danilo (Alves) dan Igor Sergeyev serta pemain pertahanan yang baik.

"Namun, kami akan beraksi seperti biasa dengan corak berintentisi tinggi dan menyerap apa jua kekuatan lawan," kata Solari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 6:17 PM