TEN Hag perlu magis untuk United layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara. FOTO AFP
TEN Hag perlu magis untuk United layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara. FOTO AFP
AFP

Manchester: Masa depan Manchester United dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini bergantung satu talian hayat menjelang lawatan Bayern Munich ke Old Trafford, dengan penyingkiran awal di saingan Eropah pasti akan memberi perhatian lebih kepada pengurus Erik ten Hag.

Pengendali kelahiran Belanda itu cuba berhujah selepas kemenangan ke atas Chelsea minggu lalu bahawa musim United belum mencapai tahap krisis.

Bagaimanapun, harapan Ten Hag bahawa titik perubahan dicapai tidak lama kerana kekalahan 0-3 di tempat sendiri kepada Bournemouth pada hujung minggu lalu menyaksikan kempen bermasalah mencapai tahap terendah baharu.

The Red Devils menduduki tempat keenam dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas tujuh kekalahan dalam 16 perlawanan pembukaan mereka.

Walaupun mungkin ada masa untuk mendapatkan semula tempat dalam empat teratas dalam liga, keperluan mereka dalam Liga Juara-Juara adalah mendesak.

Hanya kemenangan menentang juara Jerman itu pada hari Rabu akan memberi United sebarang peluang mara ke pusingan 16 terakhir dan walaupun begitu, mereka memerlukan FC Copenhagen dan Galatasaray untuk seri dalam perlawanan terakhir Kumpulan A.

United bernasib baik jika mara ke peringkat kalah mati selepas hanya mengumpul empat mata daripada lima perlawanan pembukaan mereka.

Tidak ada pasukan England pernah bolos sebanyak 14 gol seperti dilakukan anak buah Ten Hag dalam lima perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.

"Kami benar-benar tidak konsisten. Kami mempunyai kebolehan untuk melakukannya, tetapi anda perlu melakukannya setiap perlawanan dan setiap hari ketiga," kata Ten Hag selepas Bournemouth meraikan kemenangan pertama mereka di Old Trafford dengan penuh bergaya.

"Saya fikir sebagai skuad kami tidak cukup bagus untuk konsisten dan kami perlu bekerja sebagai skuad untuk memperbaikinya."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 2:42 PM