BRENDAN kuatkan skuad Harimau Malaya. FOTO NSTP
BRENDAN kuatkan skuad Harimau Malaya. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Tonggak Harimau Malaya Brendan Gan lebih memilih tidak mahu menjaga tepi kain orang lain terutamanya membabitkan pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan skuad kebangsaan.

Brendan yang juga tonggak Selangor FC berkata, setiap pemain dipanggil menyarung jersi kebangsaan sudah pastinya mempunyai kelebihan tertentu yang akan dimanfaatkan oleh pengendali Harimau Malaya Kim Pan-gon.

Malah, dia juga melihat setiap pemain yang dipanggil untuk mengharungi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 bermula Khamis ini akan memberikan terbaik untuk memastikan keputusan memihak kepada Malaysia.

"Saya melihat tingkah laku mereka di hotel mahupun di padang latihan setiap hari dan jelas mereka memberikan 100 peratus atau lebih untuk pasukan kebangsaan ini.

"Walaupun dua perlawanan akan datang dijangka sukar, namun kami yakin dapat menewaskan mereka jika turut dengan perancangan yang sudah diberi daripada jurulatih kepada kami.

"Setiap jurulatih pula sudah melakukan yang terbaik dan setiap kem latihan sebelum ini juga telah diatur dengan sempurna, kami hanya perlu mengikut percaturan yang telah disediakan oleh pihak jurulatih sahaja.

"Jadi mudah-mudahan segala perkara itu dapat menjadi satu punca kemenangan dan kami berjaya melepasi setiap ancaman pihak lawan yang akan dilemparkan kepada kami," katanya.

Selain itu, pemain kacukan Malaysia-Australia itu juga sudah bersedia memberikan yang terbaik apabila disenaraikan Pan-gon menentang Kyrgyztan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis ini.

Berdasarkan ranking, Harimau Malaya yang menghuni tangga 137 dunia dijangka berdepan tugas getir dengan Kyrgyzstan berada di kedudukan lebih baik iaitu 97 dunia.

Selepas Kyrgyzstan, skuad Pan Gon akan mengharungi aksi kedua Kumpulan D berdepan pasukan ranking 152 dunia, Taiwan di gelanggang lawan, 21 November ini.

Turut berada dalam Kumpulan D adalah Oman dengan Harimau Malaya dijadual menentang pasukan tangga ke-72 dunia itu pada Mac tahun hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2023 @ 1:07 PM