NORZA (kanan) lebih suka untuk lihat kalau lebih ramai NSA dapat menghasilkan peta hala tuju. FOTO Bernama
NORZA (kanan) lebih suka untuk lihat kalau lebih ramai NSA dapat menghasilkan peta hala tuju. FOTO Bernama
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria memuji Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana melaksanakan Peta Hala Tuju F:30 yang dianggap lebih jelas dalam mencapai kejayaan.

Menurut Norza, beliau berharap persatuan yang ada di Malaysia ini akan mengikut jejak FAM memperkenalkan rangka tindakan baru supaya gambaran bagi capai sasaran dapat dilihat serta difahami dengan lebih baik oleh semua orang.

"Apa yang menarik adalah tidak banyak NSA yang mewujudkan blueprint yang ada tempoh masa tertentu dan juga petunjuk prestasi utama (KPI). Tidak banyak persatuan yang meletakkan perancangan secara telus dan sebenar untuk pencapaian mereka.

"Saya lebih suka untuk lihat kalau lebih ramai NSA dapat menghasilkan peta hala tuju mereka supaya semua pemegang taruh seperti penaja, penyokong, atlet dan jurulatih boleh bekerjasama dalam ekosistem untuk menjayakannya," katanya selepas Majlis Pelancaran Fasa 2 Peta Hala Tuju F:30 bagi tahun 2023-2026, hari ini.

Di samping itu, FAM turut menerima peruntukan RM2.3 juta daripada Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) untuk digunakan pada infrastruktur di negara ini.

Fasa 2 F:30 adalah kesinambungan Fasa 1 yang dilancarkan FAM pada 2019 untuk mencapai sasaran mendominasi ASEAN dari segi urus tadbir, pertandingan dan pembangunan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John menyifatkan F:30 Fasa 2 sebagai satu langkah bijak daripada FAM yang boleh dijayakan dengan bantuan daripada semua pemegang taruh.

"Daripada AFC, kita juga mahu melihat inisiatif yang jelas bagaimana ahli gabungan kami untuk mencapai kejayaan. Visi dan misi ini pasti dapat dicapai dengan usaha keras daripada semua yang terbabit," katanya.

Di awal pelancaran F:30 adalah menjadikan pasukan negara sebagai salah satu daripada lima pasukan terbaik di Asia menjelang 2030 dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menjadikan pelan ini sebagai salah satu simbol keseriusan badan induk itu.

Dilancarkan pada 2018, F:30 adalah pelan rancangan 12 tahun yang terbahagi kepada tiga pelan strategik dengan fasa pertama dari 2022 dikhususkan kepada usaha membina asas kukuh menerusi tadbir urus baik, persaingan serta pembangunan modal insan di samping infrastruktur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2023 @ 8:58 PM