SETIAUSAHA Agung FAM, Noor Azman Rahman. -FOTO NSTP
SETIAUSAHA Agung FAM, Noor Azman Rahman. -FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kejayaan skuad Harimau Malaya 'menggegar' bumi China minggu lalu diharap dapat membawa impak kepada kehadiran penyokong yang juga 'pemain ke-12' menjelang saingan Pestabola Merdeka Oktober ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman berkata, aksi memberangsangkan skuad kendalian Kim Pan-gon yang hampir mengejutkan dua pasukan di ranking 100 terbaik dunia nyata menggembirakan penyokong negara.

Katanya, prestasi sama pastinya diharapkan penyokong tempatan apabila pasukan negara beraksi di Pestabola Merdeka di mana Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bakal dijadikan venue kejohanan itu.

"Sudah tentu keputusan positif di China itu akan membawa impak yang baik kepada kehadiran penyokong kita ke stadium nanti.

"Saya harap stadium dapat dibanjiri dan sama-sama kita beri sokongan padu kepada skuad negara di Pestabola Merdeka nanti," katanya kepada Arena Metro.

Di Pestabola Merdeka itu nanti, Malaysia yang menghuni kedudukan 136 dalam ranking Fifa dijadual berdepan India, manakala Palestin menentang Tajikistan.

Terdahulu, anak buah Pan-gon mencipta sensasi di China apabila mengikat dua pasukan iaitu Syria yang berada di tangga ke-94 dunia dengan keputusan 2-2.

Aksi bertenaga dikekalkan dalam perlawanan kedua apabila mengikat pula China (ranking 80) dengan 1-1 sekali gus menghadirkan keterujaan peminat yang memuji prestasi memukau itu.

Dua aksi terbabit adalah sebahagian perancangan FAM memantapkan pasukan sebelum beraksi di Kelayakan Piala Dunia 2026/Kelayakan Piala Asia 2027 November ini serta pusingan akhir Piala Asia di Qatar pada Januari depan.

Dalam perkembangan sama, Noor Azman mengucapkan terima kasih kepada semua pasukan yang melepaskan pemain untuk menyertai kem latihan pusat.

"Terima kasih kepada semua pasukan termasuk JDT (Johor Darul Ta'zim) dan lain-lain yang memberi kerjasama dengan melepaskan pemain mereka.

"Kejayaan ini bukan hasil daripada FAM mahupun barisan kejurulatihan sahaja, tetapi ia kejayaan kita bersama yang mahukan terbaik buat pasukan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2023 @ 1:29 PM