BONUCCI diketepikan dari skuad kebangsaan Itali. -FOTO AFP
BONUCCI diketepikan dari skuad kebangsaan Itali. -FOTO AFP
AFP

Milan: Pertahanan Itali, Leonardo Bonucci akan mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas kelabnya Juventus selepas isu perselisihan faham membabitkan pengurus pasukan Massimiliano Allegri yang menjadi punca dia meninggalkan kelab baru-baru ini.

Bonucci, 36, menghabiskan 12 tahun di Turin, diketepikan daripada skuad Allegri ketika jelajah pra-musim di Amerika Syarikat, perlawanan persahabatan di tempat sendiri serta perlawanan pembukaan Serie A mereka pada 20 Ogos.

Dia bersetuju untuk menamatkan kontraknya dengan Juve bagi memudahkan perpindahan ke kelab Bundesliga, Union Berlin dengan kontrak selama setahun pada tarikh akhir jendela perpindahan.

"Selepas mengalami penderitaan yang besar saya memutuskan untuk mengambil tindakan dengan menyaman Juventus," kata Bonucci.

"Saya mempunyai hak bahawa saya sepatutnya berlatih dengan pasukan tanpa mengira pilihan teknikal dan diletakkan dalam kedudukan untuk bermain pada musim berikutnya.

"Tapi perkara itu tidak diberikan kepada saya, saya tidak lagi bersama pasukan. Saya berasa letih dan terhina dengan segala-galanya. Saya tidak dapat melakukan perkara yang paling saya sukai."

Bonucci berkata dia tidak berasa kesal untuk mengambil tindakan terhadap bekas kelabnya itu biarpun akan mendapat ganjaran kewangan dan jika dia memenangi tindakan undang-undang itu dia akan menderma semua hasil itu kepada badan amal.

"Saya mengambil tindakan ini kerana orang yang sepatutnya membenarkan saya menamatkan karier saya bersama Juventus dengan cara yang terhormat tetapi melakukan yang sebaliknya."

Diketepikan daripada latihan untuk tempoh yang lama menyebabkan pengurus baharu Itali, Luciano Spalletti tidak memanggil Bonucci untuk menyertai skuad kebangsaan.

Spalletti memaklumkan kepada pemain pertahanan itu mengenai keputusannya secara peribadi sebelum membuat senarai rasminya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2023 @ 7:44 AM