SESI penerangan penggunaan VAR baru-baru ini. FOTO Agensi
SESI penerangan penggunaan VAR baru-baru ini. FOTO Agensi
Mohd Firdaus


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan menggunakan sebaiknya tempoh beberapa bulan akan datang sebelum bermulanya saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024 dengan mencari dana secukupnya bagi menampung penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, pihaknya sedia mengkomersialkan teknologi VAR itu bagi menarik lebih penaja.

Jelasnya, pihaknya tidak akan bersikap tunggu dan lihat sebaliknya akan terus bergerak mencari dana bagi memastikan kos diperlukan dapat dicari secukupnya memandangkan VAR akan menelan kos agak besar.

"VAR tidak termasuk dalam bajet tahun depan namun kami akan lakukan sehabis baik untuk pelaksaan VAR. Apabila kita berdepan masalah, kita akan cuba cari mekanisme penyelesaian.

"Kita sudah lakukan dengan jayanya untuk tahun ini apabila ada 13 penaja dan kita juga harap kita dapat komersialkan VAR untuk cari penaja berasaskan VAR.

"Jadi kami harap dengan adanya VAR, ia juga buka peluang baharu untuk kita cari penaja untuk kategori VAR saja," katanya.

Sebelum ini, Stuart menjelaskan pihaknya memahami denyut nadi dan mengesahkan akan 'payung' sepenuhnya kos VAR yang dianggarkan mencecah hampir RM10 juta pada pelaksanaan tahun pertama.

Malah, MFL perlu mengeluarkan anggaran perbelanjaan kira-kira RM3.2 juta pada tahun berikutnya untuk memastikan teknologi terbabit dapat terus digunakan di Liga M.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 4:25 PM