HOJLUND dijangka beraksi kali pertama menentang Arsenal.
HOJLUND dijangka beraksi kali pertama menentang Arsenal.
AFP

London: Manchester United bertekad menamatkan badi di depan lawan apabila menentang Arsenal dalam aksi tumpuan Liga Perdana Inggeris (EPL) Ahad ini manakala Liverpool menerima kunjungan Aston Villa di Anfield.

Kemenangan 3-2 musim lalu ke atas Manchester United di Emirates antara perlawanan paling menarik dan menambahkan keyakinan Gunners untuk memburu gelaran liga.

Namun bagi United pula kekalahan itu mendedahkan lagi kelemahan mereka yang bergelut dengan prestasi di tempat lawan.

Skuad Erik ten Hag tewas kesemua enam aksi di tempat lawan kepada pencabar kelompok tujuh teratas musim lalu dan melepaskan purata 3.66 gol setiap perlawanan. Kelab teratas mereka tewaskan di tempat lawan ialah Fulham yang menduduki tangga ke-10.

Permulaan goyah dipamerkan ketika menewaskan Wolves di tempat sendiri musim ini disusuli kekalahan 0-2 di Tottenham dan kini skuad Ten Hag yang mengalami krisis kecederaan menentang naib juara 2022/23 tanpa Luke Shaw, Raphael Varane dan Mason Mount.

Penyerang baharu Rasmus Hojlund yang tiba di Old Trafford dengan kecederaan mungkin tampil kali pertama untuk skuadnya yang bergelut mendapatkan jaringan.

Darwin Nunez pula berdepan musim pertama yang sukar selepas berpindah ke Liverpool tahun lalu dengan yuran sekitar 100 juta euro (RM502.86 juta) namun hanya menjaringkan sembilan gol di EPL.

Tetapi pemain Uruguay itu masuk daripada bangku simpanan bagi menjaringkan dua gol lewat yang membantu kemenangan 2-1 di Newcastle sekali gus mampu menjadi permulaan kepada karier cemerlangnya di Anfield.

Pengurus Jurgen Klopp mengakui bekas penyerang Benfica itu bagaikan melepas geram selepas diletakkan di bangku simpanan sekali lagi.

Kini jurulatih dari Jerman itu mempunyai lebih pilihan ketika menentang skuad Unai Emery Villa selepas kerap menurunkan Luis Diaz, Mohamed Salah, Diogo Jota dan Cody Gakpo dalam tiga perlawanan pertama musim ini.

"Jelas dia tidak gembira," kata Klopp. "Masih di awal musim, kami perlukan kestabilan dan keputusan.

"Dia akan bermain, tiada keraguan. Kami perlukan semua orang. Ini pasukan baharu dengan tonggak baharu. Ia perlukan masa."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 10:33 AM